Britain Mahu Mengukuhkan Perniagaan Kereta Api Dengan Malaysia

https://brokersmalaysia.blogspot.com/2014/05/britain-mahu-mengukuhkan-perniagaan.html
Britain mahu mengukuhkan perkongsian dalam perniagaan kereta api dengan Malaysia, terutama berkongsi kepakaran dan kaedah industri berkenaan, kata Menteri Pengangkutan Britain (Kereta Api), Stephen Hammond.
Beliau berkata, ia sejajar dengan cadangan projek kereta api berkelajuan tinggi yang menghubungkan Malaysia dan Singapura.
"Kita boleh bekerjasama dalam pelbagai bidang seperti perundingan serta reka bentuk seni bina dan teknik.
"Kereta api berkelajuan tinggi bukan hanya mengenai kelajuan, tetapi bagaimana ia memberi kesan kepada kapasiti," katanya di Pameran Penyelesaian Kereta Api Asia, di sini Rabu.
Presiden Keretapi Tanah Melayu Bhd, Datuk Elias Kadir turut hadir di majlis itu.
Cadangan projek kereta api berkelajuan tinggi sepanjang 330 kilometer dan bernilai US$12 bilion (RM40 bilion) itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan rakan sejawatnya, Lee Hsien Loong pada Februari tahun lalu.
Projek yang dijangka siap pada 2020 akan memendekkan masa perjalanan antara kedua-dua ibu negara itu kepada hanya 90 minit.
Hammond juga menggesa peserta industri meningkatkan kerjasama di peringkat antarabangsa bagi menghasilkan industri kereta api gobal yang lebih kukuh.
Beliau menyifatkan Pojek Mass Rapid Transit (MRT) Lembah Klang sebagai contoh yang baik dalam kerjasama antarabangsa dengan menggunakan teknologi terkini.
Menteri Britain itu bekata, projek itu bukan sahaja akan merubah sistem pengangkutan di Kuala Lumpur, tetapi juga menghasilkan pelbagai manfaat, termasuk merangsang ekonomi, meningkatkan kualiti hidup penduduk serta membantu menawarkan bentuk pengangkutan yang lebih mampan.
"Di London, kami sedang membina landasan baharu sepanjang 100 kilometer dikenali sebagai "Crossrail" yang akan merubah pengangkutan kereta api di London, meningkat kapasiti sehingga 10 peratus dengan 10 stesen baharu di tengah London," katanya.
Menurutnya, projek itu akan mewujudkan 30,000 peluang pekerjaan menjelang 2026.