Malaysia-Turki Tandatangani Perjanjian Perdagangan Bebas

https://brokersmalaysia.blogspot.com/2014/04/malaysia-turki-tandatangani-perjanjian.html
Malaysia dan Turki menandatangani Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dua hala di Ankara, Turki, Khamis, yang akan menjadi pemangkin untuk meningkatkan perdagangan dua hala kepada US$5.0 bilion (RM16 bilion) pada 2018.
Kerajaan Malaysia diwakili Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, manakala Turki oleh Menteri Ekonominya, Nihat Zeybekci.
Mustapa dan Nihat Zeybekci menandatangani perjanjian itu yang merupakan FTA dua hala ketujuh Malaysia dengan negara asing selepas Jepun, Pakistan, New Zealand, Chile, India dan Australia.
Pemeteraian FTA itu disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan di pihak Turki rakan sejawatannya, Recep Tayyip Erdogan.
"Perjanjian ini merupakan satu FTA penting kerana ia antara dua negara Islam sederhana, dua anggota OIC (Pertubuhan Kerjasama Islam) dan dua anggota D8 (Kumpulan Lapan Negara Membangun).
"Perjanjian ini akan menjadi pemangkin bukan sahaja dalam hubungan dua hala tetapi juga kepada OIC dan D8," kata Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Dr Rebecca Fatima Sta Maria pada taklimat media di ibu negara, Khamis.
Jumlah dagangan antara Malaysia dan Turki meningkat 86 peratus berbanding lima tahun lepas, mencapai US$1.1 bilion (RM3.5 bilion) pada 2013.
Pada asasnya, FTA Malaysia-Turki (MTFTA) merupakan perjanjian yang menyediakan akses pasaran keutamaan bagi barangan Malaysia memasuki pasaran Turki dan sebaliknya.
Selain itu, ia juga meliputi beberapa bidang yang berkaitan dengan barang-barang, termasuk kaedah-kaedah untuk menentukan asal produk, disiplin yang berkaitan dengan piawaian dan langkah-langkah kebersihan serta peruntukan lain bagi memudahkan perdagangan seperti kerjasama kastam, kerjasama ekonomi dan teknikal.
Rebecca berkata hasil paling utama MTFTA ialah Malaysia boleh mendapat tarif keutamaan yang setanding atau lebih baik daripada yang diberikan Turki di bawah Sistem Keutamaan AM (GSP), yang tidak lagi ditawarkan mulai 1 Jan 2014.
Oleh itu, dengan termeterai dan seterusnya penguatkuasaan MTFTA, pengeksport Malaysia bukan sahaja boleh terus mendapat akses pasaran keutamaan, malah juga kekal berdaya saing dalam pasaran Turki.
Komitmen Turki di bawah MTFTA diperlukan untuk memansuhkan dan mengikat pemansuhan duti pada kadar sifar peratus ke atas hampir 70 peratus garis tarif produk pada tarikh kuat kuasa perjanjian perdagangan itu dengan serta merta.
Sebaliknya, Malaysia juga bersetuju untuk menawarkan kadar duti pada sifar peratus ke atas 70 peratus garis tarif.
Eksport Malaysia yang akan mendapat manfaat daripada layanan bebas cukai serta merta di Turki termasuk produk elektronik & elektrik, produk getah, bahan kimia, beberapa produk besi dan keluli, mesin, produk kayu dan kulit.
Berdasarkan trend perdagangan sedia ada, anggaran nilai purata eksport Malaysia bagi produk-produk ini adalah kira-kira US$250 juta (RM800 juta).
Rebecca berkata antara bidang berpotensi untuk kerjasama dengan Turki ialah sektor tenaga boleh diperbaharu, perkhidmatan MRO (Maintenance Repair and Operation) , produk berkaitan penerbangan, produk berkaitan pertahanan, sektor automotif dan petrokimia.
Sementara itu, eksport Turki ke Malaysia yang akan mendapat manfaat daripada akses segera bebas cukai termasuk hasil pertanian, perikanan, produk makanan dan produk mineral.
Beliau berkata memandangkan FTA ini direalisasikan dalam tempoh lapan tahun, semakin banyak produk akan mendapat manfaat daripada pengurangan atau pemansuhan duti, menyebabkan kira-kira 86 peratus daripada garis tarif di Turki yang memberikan akses pasaran keutamaan kepada eksport Malaysia.
Satu lagi kelebihan penting bagi Malaysia ialah dalam sektor tekstil dan pakaian, yang membentuk barangan eksport terbesar Malaysia ke Turki.
Di bawah FTA ini, Turki akan memansuhkan duti bagi semua produk tekstil dan pakaian, dengan banyak proses pemansuhan akan dilakukan serta merta pada tarikh kuat kuasa FTA.
Tambahan pula, Turki akan memansuhkan semua duti tambahan sedia ada pada produk tekstil, pakaian dan kasut.
Duti-duti ini meliputi lebih daripada seribu garis dan dikenakan antara julat 20 hingga 30 peratus.
Rebecca berkata Turki juga bersetuju untuk tidak memperkenalkan semula atau mengenakan duti tambahan baru apabila berkuat kuasanya FTA itu.
Bagi minyak sawit dan produk sawit Malaysia, Turki menawarkan pengurangan duti sekali sahaja sebanyak 30 peratus daripada kadar MFN (Most Favoured Nation) semasa.
Pengurangan duti ini pada dasarnya akan meningkatkan daya saing minyak sawit dan produk minyak sawit Malaysia di pasaran Turki berbanding produk yang sama dari negara-negara lain.
Selaras dengan dasar dan pelaksanaan sedia ada, Malaysia telah mengecualikan beras, minuman beralkohol, tembakau, tayar terpakai dan senjata daripada kesemua konsesi tarif di bawah FTA ini.
Malaysia dan Turki memulakan perundingan MTFTA pada Mei 2010 dengan tujuan untuk memuktamadkan suatu FTA.
Setelah hampir empat tahun dan melalui sembilan pusingan rundingan, kedua-dua pihak berjaya memuktamadkan rundingan pada Januari tahun ini dengan pakej yang saling menguntungkan kedua-dua pihak.
Kedua-dua pihak bersetuju bahawa FTA ini akan memberi tumpuan kepada perdagangan barangan, diikuti dengan bab pelaburan dan perkhidmatan.
"Rundingan mengenai perkhidmatan dijangka bermula satu tahun dari tarikh pemeteraian MTFTA," kata Rebecca.
Malaysia dan Turki akan melalui prosedur pengesahan masing-masing selepas menandatangani perjanjian itu, Khamis.
FTA akan hanya berkuat kuasa selepas kedua-dua pihak menyelesaikan proses ini.
Proses pengesahan Turki mungkin mengambil masa lebih daripada 12 bulan dari tarikh menandatangani memandangkan Turki perlu mendapatkan kelulusan Kongres untuk perjanjian ini.
Rebecca berkata Malaysia akan dapat menyelesaikan proses pengesahan yang apabila perjanjian ini ditandatangani.
Terdahulu, Najib menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman antara syarikat baharu Felda Global Ventures Holdings Bhd, FGV Cambridge Nanosystems dan Nanokomp Ileri Teknoloji Malzemeleri Arge Dan Ins San Tic Ltd Sti.
Melalui perjanjian ini, unit FGV itu akan menyediakan bekalan graphene dan 'nanotubes' karbon (CNT) kepada Nanokomp.
FGV juga menandatangani memorandum persefahaman Evyap Sabun Malaysia Sdn Bhd, unit Evyap Group Turkey untuk membekalkan kita 1,000 tan metrik minyak sawit bagi loji oleokimia Evyap Sabun di Johor, berdasarkan keperluannya.