Menangkis serangan spekulator

https://brokersmalaysia.blogspot.com/2014/04/menangkis-serangan-spekulator.html
Serangan oleh spekulator mata wang asing yang tidak berperikemanusiaan telah membuka mata setiap rakyat Malaysia bahawa pasaran terbuka amat terdedah dengan ancaman pihak-pihak yang mahu mengaut keuntungan peribadi.
Serangan spekulator bukan sahaja ke atas mata wang bahkan melibatkan pelbagai sudut seperti hartanah dan juga pasaran saham. Ia juga boleh dalam bentuk maklumat yang tidak tepat, khabar angin, fitnah dan tohmahan ke atas ekonomi sesebuah negara, syarikat, perniagaan dan tidak terkecuali ke atas usahawan dan tokoh korporat.
Dalam bidang hartanah, spekulasi harga hartanah memberi kesan negatif ke atas pembeli sebenar hartanah berkenaan. Bagi spekulator hartanah, mereka sengaja mencipta keadaan yang menyebabkan harga hartanah meningkat tanpa ada asasnya. Serangan spekulator ke atas syarikat dan usahawan pula dengan memburuk-burukkan imej dan reputasi.
Natijahnya, syarikat mahupun usahawan berkenaan sudah tidak boleh dipercayai oleh pelanggan mahupun pembekal dan ini menyebabkan perniagaan mereka merudum dan seterusnya mengalami kerugian. Ini menggambarkan bahawa spekulasi mengundang kerugian besar kepada pihak yang menjadi mangsa spekulasi.
Ia tidak semestinya dalam bentuk kewangan tetapi juga emosi dan tekanan perasaan serta perasaan tidak puas hati dalam masyarakat.
Cuba bayangkan apa akan terjadi sekiranya kebanyakan pelanggan sebuah bank amat mempercayai berita palsu bahawa bank berkenaan akan muflis? Angkara berita palsu berkenaan, pelanggan bank berkenaan beratur panjang di mesin pengeluaran wang untuk mengeluarkan kesemua wang mereka.
Pengeluaran wang secara besar-besaran memudaratkan bank berkenaan untuk beroperasi seperti sediakala. Itu kesan negatif spekulasi, khabar angin dan maklumat yang tidak tepat.
Jadi bagaimana mahu menangani dan menangkis setiap serangan spekulator? Antara kaedahnya dengan menyalurkan maklumat yang mencukupi, sahih dan meyakinkan kepada pihak yang berkepentingan. Selagi maklumat yang sahih ini tidak diperoleh, usah diuar-uarkan kepada pihak yang berkepentingan kerana ia boleh mengundang spekulasi-spekulasi lain. Jika boleh maklumat yang tepat diperoleh dengan kadar cepat kerana ia boleh menutup mulut para spekulator.
Maklumat yang tepat dan mencukupi menggambarkan kualiti maklumat yang ingin disalurkan kepada pihak berkepentingan.
Di sini ketelusan adalah tunjangnya. Jangan sesekali menyembunyikan maklumat selagi ia tidak memudaratkan syarikat dan soal keselamatan individu serta negara. Terlalu telus juga boleh membahayakan syarikat dan perniagaan .
Misalnya, jika terdapat maklumat sulit dibocorkan ia memberi ruang kepada golongan oportunis menggunakan maklumat berkenaan untuk keuntungan peribadi. Dengan kata lain, ada ketikanya, maklumat disalurkan secara telus dan ada juga keadaan sesuatu maklumat itu kekal rahsia. Di sini kepimpinan tertinggi dalam sesebuah syarikat seperti pengerusi lembaga pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) perlu benar-benar mengetahui, memantau dan bertindak pantas ke atas sebarang maklumat yang ingin disalurkan kepada orang ramai.
Tersalah memberi maklumat sama ada palsu atau sulit, bakal memberi kesan tidak baik kepada syarikat. Amalan tadbir urus korporat yang baik perlu diterapkan dalam syarikat.
Sebaik-baiknya maklumat yang ingin disalurkan datangnya daripada satu sumber sahaja yang diyakini sahih dan mencukupi untuk menangkis spekulasi. Tidak boleh datang daripada pelbagai sumber kerana ia menyebabkan kekeliruan yang lebih besar lagi.
Misalnya, spekulasi seorang tokoh politik yang ada kaitan dengan syarikat bersara daripada arena politik juga mampu menjejaskan syarikat yang berkaitan dengan ahli politik berkenaan.
Begitu juga, spekulasi mengenai CEO syarikat akan ditukar dengan orang lain atau diberhentikan perlu dijawab oleh satu sumber sahih dan berautoriti sahaja agar tidak timbul kekeliruan yang akhirnya memberi kesan ke atas hala tuju syarikat. Seboleh-bolehnya, pihak syarikat tidak menyembunyikan maklumat sebegini kerana ia secara tidak langsung menjadikan para pelabur mengambil pendekatan tunggu dan lihat atau menjual saham syarikat. Perkara ini sering berlaku apabila pihak syarikat tidak mahu menafikan atau mengesahkan spekulasi berkenaan. Sedangkan pelabur memerlukan maklumat berkualiti dalam membuat keputusan pelaburan.
Selain bertindak secara bertahan seperti menyegerakan penyaluran maklumat berkualiti kepada orang ramai dan pihak berkepentingan, serangan spekulator juga boleh dipatahkan dengan menyerang kembali.
Misalnya, menutup ruang spekulator hartanah mengaut keuntungan berlipat kali ganda dengan tidak membenarkan mereka membuat pinjaman bank dan membeli hartanah secara pukal. Atau pun menetapkan kadar tukaran wang asing bagi menutup ruang spekulator mata wang asing. Tindakan agresif secara menyerang kembali ke atas spekulator membantutkan sikap keterlaluan dan tamak haloba mereka. Bertahan sahaja menyebabkan mereka semakin berani, jadi dengan menyerang kembali antara jalan terbaik mengekang kegiatan spekulator.
Jika spekulasi berkaitan maklumat pula, ia perlu dihentikan dengan mengambil tindakan terhadap spekulator mengikut peruntukan undang-undang kalau ia keterlaluan dan memberi kesan besar ke atas individu, keluarga, syarikat dan negara.
Masyarakat juga perlu diberi tunjuk ajar agar tidak mudah mempercayai spekulasi selagi ia tidak disahkan oleh pakar-pakar dan pihak berkuasa. Mereka perlu diajar untuk menyelidik sesuatu maklumat dan tidak mudah menyebarkan maklumat yang tidak sah kepada orang ramai. Perlu diingat dalam keadaan yang paling teruk, spekulasi, fitnah dan khabar angin boleh mengeruhkan hubungan antarabangsa dengan negara lain dan menjejaskan dagangan ekonomi kedua-dua negara terlibat. Tidak mustahil juga mengundang peperangan.
Justeru, sesuatu spekulasi itu perlu dinilai dengan sebaik mungkin. Jika masih ada pihak yang tidak bertanggungjawab menyebarkannya, maka ia perlu ditangani dan ditangkis dengan sewajarnya.