Peranan PNB perkasakan ekonomi bumiputera tidak boleh disangkal

https://brokersmalaysia.blogspot.com/2014/04/peranan-pnb-perkasakan-ekonomi.html
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata peranan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam memperkasakan ekonomi Bumiputera adalah suatu yang tidak boleh disangkal sama sekali kerana telah berjaya menguruskan dana-dana pelabur daripada kalangan rakyat terutama golongan bawahan.
Najib berkata kaum Bumiputera pada awal kemerdekaan hidup dalam kedaifan dengan 75 peratus berada di bawah tahap kemiskinan bahkan pada 1970 hanya mempunyai pegangan ekuiti sebanyak dua peratus.
"Namun, penubuhan PNB sebagai satu instrumen penting Dasar Ekonomi Baharu telah berjaya membantu dasar afirmatif negara menstruktur semula masyarakat menerusi pemilikan saham Bumiputera dalam pelbagai sektor korporat seterusnya memberi ruang kepada profesional Bumiputera untuk menyumbang secara langsung dalam penciptaan dan pengurusan kekayaan negara.
"Ternyata selepas 36 tahun, lebih RM267 bilion dana-dana pelabur dari kalangan rakyat marhaen diuruskan dengan cemerlang oleh PNB menerusi unit-unit amanah seperti ASN, ASB, ASM, AS1Malaysia dan dana proprietari," kata beliau ketika berucap merasmikan Minggu Saham Amanah Malaysia 2014 di Pusat Transformasi Luar Bandar di Kota Bharu,Ahad.
Turut hadir Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob, Pengerusi Permodalan Nasional Berhad Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid dan Presiden & Ketua Eksekutif Kumpulan PNB Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.
Najib berkata ini sekali gus membolehkan penguasaan pelbagai sektor strategik yang dahulunya tidak pernah termimpi kaum Bumiputera untuk mengambil bahagian.
"Inovasi ini membolehkan rakyat marhaen menjadi pemegang saham walaupun hanya serendah RM10 menjadikan PNB sebagai institusi rakyat yang paling berjaya hingga menjadi model kepada dunia luar.
"Ini sekali lagi membuktikan komitmen kerajaan merealisasikan semangat `Maqasid al-Syariah' dalam konteks pengurusan kekayaan, memenuhi prinsip yang digariskan Allah SWT," katanya.
Perdana Menteri mengalu-alukan iltizam dan inisiatif PNB untuk mengembangkan portfolio pelaburannya yang mematuhi syariah.
Najib yang juga Menteri Kewangan berkata antara portfolio penting syarikat PNB iaitu Maybank, telah menunjukkan pertumbuhan pesat aset perbankan Islam menerusi Maybank Islamik yang berkembang dari segi jumlah aset daripada RM3.6 bilion kepada RM127 bilion.
"Maybank kini tersenarai sebagai bank Islam komersial ketiga terbesar di dunia dari segi jumlah aset dan paling besar di Asia Tenggara," kata beliau.
MSAM 2014 yang bertemakan `Pelaburan 360 PNB' itu berlangsung selama lebih seminggu bermula hari ini sehingga 27 April dan memuatkan pelbagai aktiviti pelaburan untuk pelbagai lapisan masyarakat.
Ia dijayakan dengan sokongan 12 syarikat Kumpulan PNB yang berperanan sebagai rakan premier iaitu Malayan Banking Berhad, Sime Darby Berhad, I&P Group Sdn Bhd dan UMW Holdings Berhad manakala rakan utama terdiri daripada Chemical Company Of Malaysia Berhad, Malaysian Industrial Development Finance Berhad, MNRB Holdings, NCB Holdings Sdn Bhd dan Takaful Ikhlas Sdn Bhd sebagai rakan program keagamaan sementara Pernec Corporation Bhd sebagai rakan teknologi.