Perniagaan Tempatan Masih Terdedah Kepada Ancaman Siber

https://brokersmalaysia.blogspot.com/2014/04/perniagaan-tempatan-masih-terdedah.html
Perniagaan tempatan masih terdedah kepada ancaman siber walaupun profil keselamatan Internet Malaysia merosot tahun lepas kepada kedudukan ke-33 daripada 157 negara di dunia berbanding tempat ke-35 pada 2012, kata Pengarah Kejuruteraan Sistem Symantec Malaysia, Nigel Tan.
"Ini merupakan petanda jelas penjenayah siber tidak memperlahankan operasi mereka. Malah mereka meningkatkan kecekapan kempen dan menyasarkan perusahaan kecil dan sederhana," katanya kepada pemberita selepas membentangkan Laporan Ancaman Keselamatan Internet Symantec 2014, Jilid 19, Isnin.
Tan berkata perkhidmatan bukan tradisi merupakan sasaran utama serangan dengan 58.97 peratus, diikuti perkhidmatan profesional (17.95 peratus), kewangan, insurans dan hartanah (15.38 peratus) dan runcit (2.56 peratus).
Naib Presiden Wilayah Asia Selatan Symantec, Eric Hoh Yau Siong, berkata tahap kecanggihan kalangan penyerang siber semakin meningkat dan mereka sentiasa menunggu untuk melancarkan serangan apabila ganjarannya semakin lumayan.
"Penjenayah siber sentiasa membuat pembaharuan dan meningkatkan gerakan serangan mereka, dan oleh itu syarikat di Malaysia dan seluruh dunia tidak seharusnya leka. Sikap alpa boleh memberi kesan yang besar, menjejaskan reputasi komersil," katanya.
Laporan itu menyebut angka pencerobohan siber di seluruh negara melonjak 62 peratus tahun lepas berbanding pada 2012.
Sebanyak 253 kes membabitkan pencerobohan data dan lebih 522 juta pendedahan identiti, yang membuktikan bahawa jenayah siber terus menjadi ancaman kepada pengguna serta perniagaan, katanya.
Beliau berkata 58 peratus daripada data yang diseroboh itu membabitkan sektor penjagaan kesihatan, pendidikan dan kerajaan.
Enam corak utama yang dikenal pasti dalam laporan itu ialah pencerobohan data, serangan bersasar, mudah terdedah, perkakasan ancaman, media sosial dan mudah alih serta Internet, katanya.