Presiden Amerika Syarikat Barack Obama tiba di Malaysia

https://brokersmalaysia.blogspot.com/2014/04/presiden-amerika-syarikat-barack-obama.html
KUALA LUMPUR: Presiden Amerika Syarikat Barack Obama tiba di Malaysia sebentar tadi dalam rangka lawatan tiga harinya ke negara ini. Lawatan antara lain dilihat sebagai sebahagian usaha meningkatkan hubungan dua hala kedua-dua negara selain mencari peluang “perkongsian bersama”.
Obama tiba dengan pesawat rasminya Air Force One di Lapangan Terbang Tentera Udara Malaysia di Subang pada pukul 4.50 petang tadi.
Ini adalah lawatan kedua Presiden negara itu dalam tempoh 48 tahun.
Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menyambut ketibaan presiden Amerika Syarikat ke-44 itu.
Sejurus tiba, Obama terus dibawa ke bangunan parlimen untuk diberikan sambutan negara dan perbarisan kehormat.
Malam ini Obama akan menghadap Yang di Pertuan Agong selain menghadiri jamuan makan malam negara di Istana Negara.
Beberapa jam sebelum ketibaan Obama, kelihatan pasukan keselamatan termasuk polis, kakitangan Kedutaan Amerika Syarikat dan pegawai perisikan dilihat membuat pemeriksaan rapi di beberapa lokasi dimana Obama dijadualkan mengunjungi.
Kali terakhir lawatan presiden Amerika Syarikat ke Malaysia adalah pada tahun 1966 dimana ketika itu adalah presiden Lyndon Johnson, ketika Amerika Syarikat sedang berusaha meraih sokongan serantau dalam Perang Vietnam.
Lawatan dilihat Putrajaya sebagai usaha untuk terus mengukuhkan hubungan dua hala terutamanya dalam bidang “ekonomi, keselamatan dan hubungan antara rakyat”.
Bagaimanapun Obama berhadapan tekanan daripada beberapa kumpulan hak asasi, demokrasi dan agama dalam beberapa isu.
Antara yang menjadi topik perbincangan khusus adalah berkaitan Perjanjian Bebas Perkongsian Perdagangan Trans-Pasifik (TPPA).
Namun TPPA telah awal-awal lagi menerima tentangan daripada beberapa kumpulan di negara ini dengan alasan ia akan memberi kesan negatif kepada harga ubat-ubatan, pencabulan kedaulatan negara dan bertentangan dengan hak keistimewaan bumiputra.
Lawatan Obama di tengah-tengah kebimbangan kebangkitan China sebagai kuasa serantau dan insiden kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia, MH370.