Asia Mesti Tingkatkan Integrasi Ekonomi

https://brokersmalaysia.blogspot.com/2014/05/asia-mesti-tingkatkan-integrasi-ekonomi.html
ASTANA (KAZAKHSTAN), 23 Mei - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak berkata Asia mesti meningkatkan integrasi ekonomi bagi membantu meningkatkan kuasa negara pertengahan dan meningkatkan taraf hidup untuk semua pada era globalisasi ini.
Serentak itu, beliau berkata warga Asia juga perlu diberikan ekuiti yang lebih besar dan saksama bagi membolehkan rantau ini makmur sepenuhnya.
Menyampaikan ucaptama pada Forum Ekonomi Ketujuh Astana dan Persidangan Anti-Krisis Dunia kedua di sini pada Jumaat, Perdana Menteri berkata dua perkara itu penting untuk ASEAN, Asia dan melepasinya.
Najib menghadiri forum itu sebagai tetamu khas Presiden Kazakhstan Nursultan Nazarbayev.
"Integrasi ekonomi Asia boleh membantu negara membangun meningkatkan diri dan memastikan tidak ramai yang ketinggalan memandangkan standard yang seragam dan syarat masuk merupakan dasar dalaman," katanya.
Najib berkata integrasi ekonomi Asia akan memberi manfaat kepada rantau ini memandangkan ia memberikan mereka keupayaan untuk berunding bersama.
"Saya yakin negara di Asia perlu membangunkan hubungan ekonomi yang lebih kukuh, mampan, di rantau ini dan di dunia, termasuk pasaran baharu seperti Kesatuan Ekonomi EuAsia antara Kazakhstan, Rusia dan Belarus yang memberi manfaat kepada lebih 170 juta penduduk," katanya.
Sambil menekankan pentingnya integrasi ekonomi bagi Asia, Perdana Menteri berkata mengikut firma perunding pengurusan global, McKinsey, dagangan merentas sempadan pada 2012 menyumbang satu pertiga daripada KDNK dunia dan pada 2015, angka itu dijangkakan mencecah tahap separuh.
"Sepanjang 20 tahun lepas, ekonomi pesat membangun sudah menggandakan penguasaan barangan, perkhidmatan dan kewangan merentas sempadan, namun masih ketinggalan jauh daripada negara maju," katanya.
Najib berkata kejayaan masa depan Asia bergantung kepada pembangunan ekonomi pelbagai dan lebih meluas memandangkan pertumbuhan pesat pada masa perubahan globalisasi dan teknologi ini mendedahkan Asia kepada ketidaksaksamaan yang lebih luas.
Perdana Menteri berkata globalisasi yang semakin pesat sejak tiga dekad lepas bukan sahaja meningkatkan pertumbuhan, peluang pekerjaan dan pengurangan kemiskinan, yang membuka peluang yang lebih besar, malah meningkatkan risiko.
Masalah itu katanya terus berulang, seperti krisis yang berlaku di ekonomi besar, dasar kewangan bukan konvensional terdedah, perbezaan pendapatan yang berterusan, yang memerlukan komitmen untuk menyelesaikannya dengan segera, bersama-sama.
"Tindakan antarabangsa dan penyelarasan secara kolektif penting untuk menguruskan kesan risiko terhadap ekonomi global. Ekonomi utama mesti menyatakan keputusan mereka lebih awal dan efektif bagi mengurangkan turun naik pasaran yang berlebihan.
"Negara yang mempunyai defisit fiskal dan hutang yang tinggi memerlukan strategi pelarasan dan bukan penyelesaian mendadak. Negara membangun pula mesti mengukuhkan kedudukan fiskal, monetari dan dasar bagi meningkatkan daya tahan masing-masing.
Najib berkata dalam setiap kes, negara lain boleh melihat dan belajar daripada pengalaman Asia dalam menghadapi krisis kewangan pada 1997, apabila ia melaksanakan pembaharuan struktur dan kewangan untuk membina daya tahan terhadap kejutan luaran.
Pembaharuan itu katanya meluaskan asas negara-negara di Asia dengan pasaran pasaran kewangan yang lebih pelbagai dan mendalam dan institusi kewangan yang kukuh.
Malaysia, katanya telah memberi respons kepada krisis kewangan 1997 dengan menyatukan dan meningkatkan sektor perbankan dan pasaran bon.
Malaysia juga membuat keputusan untuk membangunkan kewangan Islam sebagai alternatif kepada pengambilan risiko berlebihan.
"Kami mula mempelbagaikan ekonomi dan meningkatkan permintaan domestik selain melaksanakan usaha dalam mengukuhkan kewangan kerajaan, mengenakan defisit sasaran, merasionalisasikan subsidi dan meluaskan asas hasil.
"Hasilnya, Malaysia masih kekal pada kedudukan yang betul untuk mencapai status negara maju pada 2020. Asas ekonomi kami kekal kukuh, dengan lebihan akaun semasa sejak 1998. Kami mempunyai simpanan yang tinggi, kadar inflasi yang terkawal dan pengangguran yang rendah," katanya.
Najib berkata pengalaman Malaysia bukanlah unik memandangkan Asia sudah berkembang 7.8 peratus sejak 2000 hingga 2013, mengatasi kadar pertumbuhan dunia sebanyak 3.8 peratus
Perdana Menteri berkata pendapatan purata per kapita di Asia meningkat lebih daripada tiga kali ganda dalam tempoh yang sama dan hampir 150 juta orang telah keluar daripada tahap kemiskinan antara 2005 dan 2008.
Najib juga mengingatkan negara Asia untuk terus bersaing dengan melakukan inovasi dalam sektor kewangan dalam pengurusan risiko, kerana mereka akan lebih terdedah kepada risiko global dan cabaran peraturan baharu, seperti pertumbuhan perbankan 'bayang-bayang'.
"Pengurusan risiko dan tadbir urus korporat yang lebih kukuh memudahkan urusan untuk mendapatkan modal asing, dan kami memerlukan komitmen berterusan untuk melakukan pembaharuan institusi dalam usaha meningkatkan perniagaan dan keyakinan orang ramai," katanya.
Beliau berkata kebanyakan ekonomi Asia kini tertumpu kepada meningkatkan penggunaan domestik, memperoleh lebih banyak pertumbuhan yang lebih bebas dan mampan, bergerak dari model lebihan perdagangan dengan pasaran yang kaya di dunia.
"Memandangkan dunia lebih bersalinghubungan, pengajaran daripada sejarah Asia ini kini semakin relevan.
"Dan memandangkan penduduk, ekonomi dan pengaruh Asia semakin berkembang, kita boleh dan perlu memainkan peranan yang lebih penting dalam mencorakkan ekonomi dan kewangan dunia untuk manfaat rakyat kita, dan dunia yang lebih luas," katanya.