IPP Malaysia Naik 4.3 Peratus Pada Mac Berikutan Pertumbuhan Positif Indeks Pembuatan, Elektrik

https://brokersmalaysia.blogspot.com/2014/05/ipp-malaysia-naik-43-peratus-pada-mac.html
KUALA LUMPUR, 12 Mei - Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia meningkat 4.3 peratus pada Mac 2014 berbanding dengan bulan yang sama tahun lepas.
Peningkatan berkenaan disumbangkan oleh kenaikan dalam indeks pembuatan dan elektrik dengan masing-masing menokok 6.4 peratus dan 4.6 peratus.
IPP pada Februari 2014 kekal dengan pertumbuhan positif 6.7 peratus berbanding tahun sebelumnya, demikian menurut Jabatan Perangkaan dalam satu kenyataan Isnin.
Dari segi pelarasan musim IPP pada Mac susut 2.6 peratus berbanding bulan sebelumnya.
Menurut jabatan berkenaan, pengeluaran pembuatan pada Mac naik 6.4 peratus berbanding tahun sebelumnya manakala pada Februari naik 9.9 peratus (pindaan).
Sub-sektor utama yang menunjukkan peningkatan pada Mac ialah bagi kumpulan produk elektrik dan elektronik (16.9 peratus) dan petroleum, kimia, getah dan plastik (1.7 peratus) serta makanan, minuman dan tembakau (5.0 peratus), kata jabatan itu.
Ia berkata output sektor perlombongan mencatatkan penurunan 0.9 peratus pada Mac berbanding bulan sama tahun 2013 berikutan penurunan dalam indeks minyak mentah 1.5 peratus dan gas asli (0.4 peratus).
Pada bulan semasa berbanding Februari 2014, output pelarasan musim bagi sektor perlombongan naik 1.4 peratus, katanya.
Output elektrik meningkat 4.6 peratus pada Mac berasaskan tahun ke tahun, kata jabatan berkenaan dan menambah dalam terma pelarasan musim, output sektor elektrik susut sebanyak 0.3 peratus berbanding bulan sebelumnya.