Kerajaan tubuh Jawatankuasa Pemantauan GST

https://brokersmalaysia.blogspot.com/2014/05/kerajaan-tubuh-jawatankuasa-pemantauan.html
KUALA LUMPUR 15 Mei - Kerajaan telah menubuhkan Jawatankuasa Pemantauan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bagi memastikan kelancaran pelaksanaannya yang akan bermula pada 1 April 2015.
Jawatankuasa itu antara lain akan menyelaras dan memastikan polisi, undang-undang serta peraturan GST disediakan, memantau tahap kesediaan agensi kerajaan dan pihak industri, menangani isu berkaitan GST yang dibangkitkan oleh rakyat dan memastikan program komunikasi yang dijalankan adalah berkesan.
Kementerian Kewangan dalam kenyataannya berkata, jawatankuasa tersebut dipengerusikan oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Selain itu, jawatankuasa berkenaan turut dianggotai oleh Ketua-ketua Setiausaha setiap kementerian dan Ketua Pengarah Kastam.
Selain jawatankuasa peringkat eksekutif, jawatankuasa kerja juga ditubuhkan yang akan dianggotai oleh wakil industri, akademik dan pengguna. Jawatankuasa kerja ini bertindak sebagai landasan di dalam menyalurkan maklum balas, pandangan atau idea bernas dalam melancarkan pelaksanaan GST," kata kenyataan tersebut hari ini.
Menurut Kementerian Kewangan, jawatankuasa berkenaan telah pun mengadakan mesyuarat peringkat eksekutif pertamanya hari ini dan antara perkara yang dibangkitkan ialah status pembentangan Rang Undang-Undang GST di Parlimen, penyediaan perundangan subsidiari, program publisiti dan penerangan yang telah dijalankan.
Dalam mesyuarat itu, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) telah memaklumkan perkara berkaitan pelantikan ejen bayaran balik pelancong, ejen cukai GST, pembangunan sistem pengkomputeran, perjawatan dan latihan kepada kakitangannya, sementara KPDNKK pula membentangkan secara lengkap strategi kawalan harga semasa pelaksanaan GST.
Langkah yang dicadangkan ini adalah bagi memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan daripada pelaksanaan GST untuk menaikkan harga atau mengambil keuntungan secara berlebihan.
Data harga bagi lebih 10,000 barang dari kesemua kawasan Parlimen akan dikumpul dan dimasukan ke dalam bank data bagi tujuan perbandingan harga sebelum dan selepas pelaksanaan GST dan digunakan sebagai asas penguatkuasaan sekiranya didapati terdapat aduan daripada pengguna," ujar kenyataan itu.
Mesyuarat juga membincangkan usaha-usaha penambahbaikan yang boleh dilakukan ke atas pelan komunikasi yang sedang dijalankan bagi memastikan semua lapisan masyarakat mendapat maklumat jelas dan tepat mengenai GST serta manfaat yang akan diperolehi mereka.
Pelan komunikasi juga akan memberi fokus kepada golongan kumpulan sasaran tertentu seperti kalangan belia, pelajar universiti, pekerja swasta dan suri rumah melalui penerangan secara lebih inklusif.