Koridor Utara Jangka Kesan Limpahan Industri Automotif RM3 Bilion Menjelang 2020

https://brokersmalaysia.blogspot.com/2014/05/koridor-utara-jangka-kesan-limpahan.html
HIROSHIMA, 21 Mei - Vendor dan pembekal tempatan dalam industri automotif di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) dijangka menerima kesan limpahan bernilai RM3 bilion menjelang 2020, kata Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) Datuk Redza Rafiq.
"Menyedari laluan pertumbuhan memberangsangkan ini serta limpahan ekonomi yang dibawanya, NCIA akan terus bekerja rapat dengan semua penggiat industri untuk memudahkan perkembangan berterusan," katanya kepada pemberita selepas majlis bertukar-tukar dokumen dengan Pengurus Besar Mazda Motor Corporation, Masatoshi Maruyama, membabitkan jalinan kerjasama antara NCIA dengan Mazda Malaysia Sdn Bhd dalam program latihan kemahiran.
Redza berkata kerjasama itu menunjukkan sokongan kuat kerajaan Malaysia terhadap pelaburan Mazda Corporation di koridor utara selain keyakinan syarikat itu sendiri terhadap koridor itu sebagai pangkalan pengeluaran Asean.
"Menerusi program latihan ini, 34 pekerja Mazda Corporation dari kilang Hiroshima akan dibawa ke koridor utara untuk memindahkan pengetahuan dan kemahiran bagi manfaat kira-kira 500 pekerja Inokom," kata Redza.
Pekerja Mazda Corporation akan melatih dan menjadi mentor pekerja Inokom dalam proses dan prosedur Mazda Corporation dalam pemasangan kereta yang dibangunkan menggunakan teknologi terbaharu Mazda SkyActiv Technology.
Redza berkata NCIA berusaha gigih untuk merangka strategi pembangunan modal insan bagi mencapai pembangunan ekonomi serantau yang menggabungkan elemen keusahawanan, latihan tempat kerja, penyelidikan dan usaha pembangunan, inovasi dan teknologi.
"Elemen ini membentuk asas dasar jangka panjang untuk pembangunan ekonomi mampan.
"NCIA memperuntukkan pelaburan strategik untuk pembangunan berterusan modal insan yang berkesan dan cekap yang akan berperanan sebagai asas untuk pembangunan sektor swasta yang tersusun," kata Redza yang memimpin delegasi perniagaan dan pelaburan lima hari ke Jepun mulai 19 Mei, meliputi Hiroshima dan Tokyo.
Rombongan NCIA akan turut menyertai seminar Pelaburan Negeri Kedah di Tokyo pada Jumaat.
NCIA ialah badan berkanun yang bertanggungjawab untuk menentukan hala tuju, dasar dan program bagi NCER, menerusi empat bidang teras iaitu pertanian, perkilangan, pelancongan dan logistik.