Perdana Menteri British Columbia Berada Di Malaysia Promosi Industri LNG

https://brokersmalaysia.blogspot.com/2014/05/perdana-menteri-british-columbia-berada.html
Clark tiba di Kuala Lumpur pada 4 Mei dan dijadualkan melawat kompleks Petronas LNG di Bintulu, Sarawak sebelum berlepas ke Singapura pada 6 Mei.
Bercakap pada majlis B.C. Investment Luncheon di sini Isnin, beliau berkata wilayah itu memiliki bekalan gas asli sangat besar yang boleh memenuhi permintaan global bagi tempoh 150 tahun.
"Di timur laut British Columbia terdapat rizab tenaga yang mencukupi bagi tempoh lebih seabad...banyak yang boleh berlaku dalam tempoh itu dan LNG akan memulakan ciptaan dan teknologi yang boleh menambah baik kehidupan rakyat dalam cara yang kita tidak dapat bayangkan pada hari ini," kata Clark.
Beliau juga berkata surat hasrat telah dimeterai dengan Petronas awal hari ini untuk bekerjasama bagi memeterai satu perjanjian pembangunan projek pada 30 November tahun ini.
Menurutnya, ia merupakan satu pencapaian utama kepada keputusan pelaburan akhir dan perjanjian tersebut juga menjamin kepastian kepada layanan cukai, tidak seperti negara-negara lain, tidak akan berubah sebaik sahaja dipersetujui.
Pada Oktober 2013, Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa Petronas akan melabur sebanyak RM107 bilion untuk membangunkan eksport LNG di wilayah tersebut yang merupakan pintu masuk Kanada ke Asia Pasifik.
Pelaburan di British Columbia itu merupakan pelaburan asing terbesar Malaysia di dunia.
Sementara itu, Menteri Pembangunan Gas Asli yang juga Timbalan Perdana Menteri British Columbia, Rich Coleman memberitahu pemberita bahawa Petronas melabur secara berterusan di wilayah tersebut.
"Petronas juga menerajui pembangunan Pacific NorthWest LNG, syarikat yang ia memiliki pegangan majoriti, untuk mencairkan gas yang dibekalkan daripada Progress Energy Canada.
"Ia mengambil langkah bijak dengan pelaburan tersebut dan memperoleh bekalan bekalan gas mereka," kata Coleman.
Sebagai sebahagian daripada pelaburan bernilai RM107 bilion (C$36 bilion) Petronas merancang membina loji LNG yang dianggar bernilai C$11 bilion di barat laut B.C. dekat Prince Rupert dan membiayai pembinaan saluran paip TransCanada yang menelan kos C$5 bilion, untuk mengangkut gas dari timur laut B.C. bagi dieksport ke pasaran Asia.
Petronas melabur C$6 bilion untuk membeli Progress Energy yang berpangkalan di Calgary pada 2012.