Rusia Berminat Kongsi Kepakaran Dengan Malaysia Dalam Industri Aeroangkasa

https://brokersmalaysia.blogspot.com/2014/05/rusia-berminat-kongsi-kepakaran-dengan.html
KUALA LUMPUR, 21 Mei - Rusia berminat berkongsi kepakarannya dengan Malaysia dalam industri aeroangkasa memandangkan pengalaman luas negara itu dalam bidang tersebut, kata Duta Rusia ke Malaysia Lyudmila G.Vorobyeva.
Beliau berkata negara itu akan menimbang sebarang kerjasama dalam bidang ini sekiranya Malaysia berminat.
"Kami telah menjalin kerjasama dalam bidang itu (industri aeroangkasa) dengan beberapa projek sedang dipertimbang oleh komuniti perniagaan masing-masing," kata Vorobyeva kepada pemberita pada sidang media tahunan di Kedutaan Persekutuan Rusia di sini, Rabu, sempena Hari Kebangsaan Rusia pada 12 Jun depan.
"Negara kami memiliki pengalaman luas dalam industri aeroangkasa dan hari ini semua angkasawan yang dihantar ke Stesen Angkasa Antarabangsa dihantar oleh kenderaan Rusia (kaedah pengangkutan yang disediakan oleh Rusia)," katanya.
Menyentuh mengenai pelancongan, Vorobyeva berkata penerbangan terus antara Malaysia dan Rusia serta sebaliknya akan meningkatkan kedatangan pelancong dan perniagaan bagi kedua-dua negara.
"AirAsia sedang menimbang menyediakan penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke Moscow. Harapnya ini akan membuahkan hasil," katanya.
Semasa musim percutian kemuncak Rusia, syarikat penerbangan negara itu Transaero Airlines mengadakan penerbangan terus antara Moscow dan Kuala Lumpur dari November 2013 hingga Februari tahun ini.
Beliau berkata Rusia juga merupakan destinasi popular bagi pelajar Malaysia yang mengambil jurusan perubatan, dengan menyatakan 6,000 pelajar Malaysia sedang meneruskan pengajian perubatan di Rusia termasuk di Crimea dan ramai yang semakin berminat dengan mata pelajaran industri aeroangkasa dan minyak dan gas.
"Banyak yang boleh ditawarkan Rusia kepada pelajar Malaysia dari segi pengajian kejuruteraan dan teknikal," kata Vorobyeva.
Banyak universiti Rusia mengambil bahagian dalam Pameran Pendidikan STAR dari 14-15 Dis di Kuala Lumpur tahun lepas dan duta itu berharap melihat lebih banyak penyertaan lagi dari universiti Rusia dalam pameran pendidikan di Malaysia.
"Kami berharap trend ini akan berterusan dan jika ia berlaku, kami menganggarkan 15 peratus doktor perubatan di Malaysia akan menjadi graduan daripada universiti Rusia," katanya.
Rusia meraikan ulang tahun Hari Kebangsaannya yang ke-23 pada 12 Jun setiap tahun bagi memperingati kejatuhan Soviet Union pada 1991.
Kedutaan itu akan mengadakan majlis resepsi pada 6 Jun di Kuala Lumpur Convention Centre dan acara kebudayaan di Galeri Seni Negara pada 9 Jun.
"Sudah 23 tahun sejak kejatuhan Soviet Union dan era 1990-an merupakan tempoh yang sukar bagi Rusia -- peralihan daripada sistem politik dan ekonomi sebelumnya kepada sistem yang kami nikmati sekarang," katanya.
"Tetapi Rusia semakin berkembang kukuh sejak 2000. Kami mencatatkan prestasi ekonomi yang sangat kukuh, sistem sosial kami semakin maju dan sistem politik kami telah diperbaharui," katanya.