Saham Westports Meningkat Hasil Keputusan Suku Pertama Yang Positif

https://brokersmalaysia.blogspot.com/2014/05/saham-westports-meningkat-hasil.html
Harga saham Westports Holdings Bhd di Bursa Malaysia tinggi pada sesi pagi Isnin selepas syarikat itu mengumumkan keputusan suku pertamanya yang positif.
Pada 10.45 pagi, kaunter itu meningkat 2.0 sen kepada RM2.56 selepas dibuka tidak berubah pada RM2.54, dengan 1.67 juta saham bertukar tangan.
AmResearch Sdn Bhd berkata keuntungan bersih teras syarikat itu sebanyak RM109 juta yang diumumkan Jumaat lepas sebagai 'dalam jangkaan', menyumbang 23 peratus daripada unjuran secara konsensus.
"Pertumbuhan pesat dilihat pada suku dalam kajian bagi kesemua laluan perdagangan, terutama Asia-Australia dan Asia-Afrika, manakala sesama Asia, yang menyumbang separuh daripada jumlah kendalian Westports, meningkat 7.0 peratus," katanya dalam nota kajiannya pada Isnin.
Firma penyelidikan itu bagaimanapun mengekalkan saranan 'simpan' ke atas syarikat itu berdasarkan potensi impak lebih kecil daripada unjuran menerusi projek sekutu P3 dan kemungkinan peningkatan tarif Pihak Berkuasa Pelabuhan Klang.