AirAsia Sedia 350 Sukarelawan Di Klia2

https://brokersmalaysia.blogspot.com/2014/05/airasia-sedia-350-sukarelawan-di-klia2.html
SEPANG, - AirAsia menyediakan 350 orang sukarelawan untuk membantu para penumpangnya di lapangan terbang baharu, klia2.
Usaha yang diterajui oleh Jabatan Sumber Manusia AirAsia itu merangkumi sukarelawan yang dibahagikan kepada empat syif bermula seawal pukul 5 pagi dan berakhir pada 12 tengah malam setiap hari, termasuk hujung minggu.
Ketua Jabatan Sumber Manusia AirAsia Adzhar Ibrahim berkata sukarelawan berkenaan merupakan satu pasukan yang berdedikasi dengan misi untuk menyediakan bantuan kepada para penumpang di lapangan terbang klia2.
"Sejak tiga hari lalu, sukarelawan kami berkhidmat sebagai sumber maklumat lengkap untuk membantu para penumpang untuk mencari lokasi pintu, semak status penerbangan, tuntutan bagasi, informasi pengangkutan awam serta pertanyaan umum,", katanya dalam satu kenyataan di sini hari Ahad.
Pasukan sukarelawan AirAsia yang mudah sekali dikenal pasti dengan kemeja-T merah, boleh ditemui di seluruh pelosok lapangan terbang KLIA2 dan juga pusat membeli-belah Gateway.
Menurut kenyataan itu, apabila jabatan sumber manusia syarikat penerbangan itu membuka pendaftaran untuk sukarelawan, ia mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada AirAsia Allstars (kakitangan) dari seluruh Malaysia, Thailand dan Indonesia.
Malah, permintaan sukarelawan melebihi jumlah sebenar yang diperlukan oleh syarikat penerbangan itu, katanya.
Kesediaan mereka untuk membantu rakan kerja mencerminkan semangat setia kawan yang tinggi dan nilai-nilai keluarga yang diterapkan oleh pengurusan AirAsia, demikian menurut kenyataan itu.
Program sukarela AirAsia akan diteruskan selama satu bulan bagi memastikan kelancaran operasi di klia2.