BNM Kekalkan OPR Pada 3.0 Peratus

https://brokersmalaysia.blogspot.com/2014/05/bnm-kekalkan-opr-pada-30-peratus.html
KUALA LUMPUR, 8 Mei - Bank Negara Malaysia mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.00 peratus pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari hari Khamis berikutan pertumbuhan global yang sederhana pada suku pertama tahun ini.
Bank pusat itu berkata beberapa ekonomi utama terjejas oleh faktor berkaitan cuaca dan pelaksanaan dasar.
Pada masa akan datang, Bank Negara berkata ekonomi global dijangka terus pulih secara beransur-ansur.
Di Asia, persekitaran luaran yang lebih baik terus menyokong pertumbuhan, di samping permintaan dalam negeri yang terus berkembang, kata bank pusat itu dalam satu kenyataan.
"Keadaan dalam pasaran kewangan antarabangsa juga bertambah baik susulan pelarasan dasar secara beransur-ansur dan teratur dalam ekonomi maju utama manakala kesan daripada perkembangan geopolitik kekal terkawal," katanya.
Bagi Malaysia, Bank Negara berkata penunjuk terkini menunjukkan ekonomi dalam negeri terus mencatat prestasi menggalakkan pada suku pertama.
Pada masa akan datang, pertumbuhan akan terus dipacu oleh permintaan dalam negeri dengan sokongan tambahan daripada persekitaran luaran yang bertambah baik, kata Bank Negara.
"Eksport akan terus mendapat manfaat daripada pemulihan dalam ekonomi maju dan permintaan serantau manakala perbelanjaan sektor swasta dijangka kekal teguh," katanya.
Bank pusat itu berkata inflasi stabil sejak beberapa bulan lalu dalam keadaan cuaca yang lebih baik dan disebabkan oleh kesan daripada pelarasan harga bagi utiliti dan tenaga yang menjadi sederhana.
"Melangkah ke hadapan, inflasi, bagaimanapun, dijangka terus melebihi kadar purata jangka panjangnya disebabkan oleh faktor kos domestik yang lebih tinggi," katanya.
Bagaimanapun, bank pusat itu berkata terdapat tanda-tanda wujudnya pembentukan ketidakseimbangan kewangan yang berterusan walaupun prospek pertumbuhan kukuh dan inflasi kekal melebihi kadar purata jangka panjangnya.
"Meskipun langkah kehematan makro dan mikro telah mengurangkan peningkatan pertumbuhan keberhutangan isi rumah, keadaan monetari dan kewangan semasa mungkin menyebabkan pembentukan ketidakseimbangan ekonomi dan kewangan yang lebih meluas," katanya.
Pada masa hadapan, Bank Negara berkata tahap dasar monetari yang akomodatif mungkin perlu diselaraskan untuk memastikan risiko yang berpunca daripada pembentukan ketidakseimbangan itu tidak memberikan kesan kepada prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia.