FIC kuasai 49 peratus kepentingan Encorp

https://brokersmalaysia.blogspot.com/2014/05/fic-kuasai-49-peratus-kepentingan-encorp.html
Menurut makluman Encorp ke Bursa Malaysia hari ini, FIC telah mengadakan perjanjian berasingan dengan dua pemegang utama Encorp, Lavista Sdn. Bhd. (LSB) dan Pegang Impian Holdings Sdn. Bhd. (PIHSB) untuk pembelian 66 juta saham biasa milik LSB dan 43 juta saham PIHSB, meliputi 49.45 peratus modal saham berbayar dan diterbitkan Encorp.
Antara kandungan perjanjian bersyarat itu, FIC juga boleh menguasai baki saham yang tidak dimilikinya di dalam Encorp.
FIC (http://www.fic.net.my) didaftarkan pada Julai 2013, merupakan unit di bawah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yang bertujuan memaksimumkan aset-aset lembaga itu dalam usaha meningkatkan sumbangan kepada golongan peneroka. Fokus utama ialah untuk terlibat di dalam aktiviti perniagaan yang tidak berkaitan dengan perladangan.
Objektif utama FIC adalah bagi memberi fokus kepada perniagaan strategik menerusi pengambilalihan atau kerjasama yang membawa manfaat kepada pemegang kepentingan," menurut lampiran makluman tersebut.
Rasional kepada pengambilalihan Encorp adalah bagi membina keupayaan FIC dalam pembangunan hartanah termasuk di kawasan utama Lembah Klang dan bandar-bandar lain di seluruh Malaysia.
Encorp merupakan syarikat pemaju hartanah yang memiliki beberapa projek hartanah berbentuk kediaman dan komersial termasuk di Lembah Klang yang mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) lebih RM3 bilion.
Antara projek-projek tersebut ialah Encorp Strand Mall di Kota Damansara dan Encorp Cahaya Alam di Shah Alam.