China rangka FTAAP, Saingi TPPA

https://brokersmalaysia.blogspot.com/2014/05/china-rangka-ftaap-saingi-tppa.html
Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang dilihat sukar untuk dimuktamadkan, kini berhadapan satu lagi tamparan yang lebih besar apabila sebuah lagi perjanjian seumpamanya, Perjanjian Perdagangan Bebas Asia Pasifik (FTAAP) sedang dirangka.
Lebih menarik, FTAAP bakal diketuai musuh ekonomi utama Amerika Syarikat (AS), iaitu China yang ketika ini telah membentuk kumpulan kerja bagi memulakan kajian FTAAP.
Cadangan pembentukan perjanjian baharu itu hadir sebelum berlangsungnya persidangan menteri-menteri perdagangan forum Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) yang akan diadakan di China pada bulan ini.
Menurut laporan AFP baru-baru ini, Pembantu Menteri Perdagangan China, Wang Shouwen mengesahkan kewujudan kumpulan kerja itu bagi merealisasikan FTAAP dengan menggunakan konsep Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) sedia ada yang diguna pakai oleh pelbagai negara, tetapi kali ini penggunaannya lebih meluas meliputi peringkat serantau.
Kami rasa tidak akan berlakunya konflik antara FTAAP dengan satu lagi perjanjian yang sedang diperbincangkan," kata Shouwen
Bagaimanapun, kenyataan yang dikeluarkan itu memberi tamparan kepada TPPA terutama sekali selepas salah satu negara yang terlibat, iaitu Jepun berkeras mahu melindungi sektor pertanian dan automotifnya daripada beberapa topik di dalam TPPA.
Oktober lalu, Presiden China, Xi Jinping yang menghadiri forum perniagaan APEC di Indonesia menyatakan negaranya sedia terlibat di dalam kerjasama Trans-Pasifik yang memberi manfaat kepada semua pihak, sekali gus dianggap sebagai satu kritikan kepada TPPA.
Malah, sebelum pengumuman kajian FTAAP dilakukan, Beijing sendiri berusaha mewujudkan Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) bersama negara-negara ASEAN yang dianggap sebagai tindak balas strategik kepada TPPA yang dipelopori oleh AS, lebih-lebih lagi setelah Jepun sendiri terlibat di dalam TPPA.
RCEP yang dirancang itu kini turut akan melibatkan negara-negara seperti India, Jepun, Australia, New Zealand selain Malaysia dan Vietnam serta negara-negara ASEAN.