Firma Penyelidikan Jangka OPR Naik Dalam Enam Bulan Kedua 2014

https://brokersmalaysia.blogspot.com/2014/05/firma-penyelidikan-jangka-opr-naik.html
KUALA LUMPUR, 9 Mei - Firma-firma penyelidikan mengunjurkan bahawa pihak berkuasa akan menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas dalam enam bulan kedua tahun ini disebabkan oleh tekanan menaik inflasi.
Maybank Investment Bank (IB) Research berkata kenaikan OPR pasti berlaku dan tekanan menaik inflasi akan berterusan disebabkan oleh peningkatan kos domestik.
"Kami menjangkakan kenaikan OPR sebanyak 25-50 mata asas dalam enam bulan kedua tahun ini yang akan menyaksikan tiga mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) diadakan iaitu pada Julai, September dan November," kata firma penyelidikan itu dalam satu nota Jumaat.
Satu lagi firma penyelidikan, RHB Research, berkata dalam Kenyataan Dasar Monetarinya (MPS) semalam, bank pusat juga menggariskan asas bagi kemungkinan pelarasan kemudahan monetari (monetary accommodation) dibuat dalam masa terdekat ini.
Ia berkata "pelarasan' itu bertujuan memastikan risiko yang timbul daripada ketidakseimbangan tidak akan menghalang pertumbuhan ekonomi.
"Ini sejajar dengan jangkaan kami OPR akan dinaikkan sebanyak 25 mata asas menjelang lewat suku ketiga tahun ini," katanya.
Semalam Bank Negara Malaysia (BNM) memutuskan untuk mengekalkan OPR pada kadar 3.0 peratus, dan ini bererti tidak mengubahnya sejak lebih dua tahun lalu.
Menurut BNM, pertumbuhan Malaysia akan dikekalkan dalam tahun 2014, dengan dipacu oleh permintaan domestik dan disokong oleh persekitaran luaran yang semakin baik.
Permintaan domestik akan diterajui oleh perbelanjaan modal sektor swasta, khususnya dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan, manakala penggunaan swasta akan didorong oleh pertumbuhan pendapatan yang stabil dan keadaan pasaran buruh yang menggalakkan.
Persekitaran luar negara yang bertambah baik akan didorong oleh pemulihan ekonomi-ekonomi maju dan permintaan serantau, manakala ekonomi global dijangka terus berada pada landasan ke arah pemulihan beransur-ansur, meskipun prestasi dalam suku pertama sederhana.