Usahawan SOHO dipelawa kembang perniagaan dengan TM

https://brokersmalaysia.blogspot.com/2014/05/usahawan-soho-dipelawa-kembang.html
Naib Presiden Eksekutifnya, Azizi A. Hadi berkata, usahawan SOHO khususnya yang menjalankan perniagaan secara talian didapati hanya menekankan soal pemasaran produk terutamanya menerusi laman sosial.
"Kita tidak mahu usahawan SOHO ini hanya tahu memasarkan produk di laman sosial seperti Facebook sahaja tetapi pada masa sama perlu menekankan aspek pesanan dan pembayaran secara talian dan juga penghantaran.
"Semua perkhidmatan yang diperlukan itu ada disediakan oleh TM termasuk aspek penghantaran dengan kerjasama Pos Malaysia. Oleh itu, kita mempelawa usahawan SOHO menggunakan perkhidmatan yang disediakan TM agar dapat mengembangkan lagi perniagaan sedia ada,'' katanya sempena SME Biz Fest 2014 anjuran TM di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Naib Presiden TM Johor, Azhar Omar.
SME BizFest 2014 bertemakan Innovate to Dominate yang memasuki tahun ketiga penganjurannya menjadi platform kepada PKS untuk menjalankan perniagaan mereka berteraskan teknologi komunikasi maklumat (ICT).
Selepas diadakan di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid, Petaling Jaya pada 24 April lalu dan terbaharu di Persada Johor di sini hari ini, majlis itu berlangsung di lokasi seterusnya di Hotel Equatorial, Pulau Pinang pada 22 Mei dan Pusat Konvensyen Borneo, Kuching pada 9 Jun ini.
Menurut Azizi, daripada 516,000 pelanggan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menggunakan perkhidmatan TM, pihaknya turut memberi perhatian kepada usahawan SOHO yang dilihat turut mempunyai potensi perniagaan yang besar.
"Meskipun kebanyakan daripada usahawan SOHO ini tidak berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), namun kita tidak mahu melepaskan peluang untuk menjalinkan kerjasama dengan golongan ini.
"Bagi usahawan SOHO yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkhidmatan yang ditawarkan TM, mereka boleh datang sendiri ke cawangan TM berhampiran,'' katanya.