Halangan Besar Diatasi, Buka Ruang Untuk Rundingan Lanjut TPPA


SINGAPURA, 23 Mei - Walaupun tiada tarikh akhir baharu ditetapkan untuk memuktamadkan rundingan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), di sini, menteri-menteri perdagangan bersetuju bahawa 'halangan besar' akhirnya diatasi.

Perkembangan baharu ini sudah pasti membuka ruang untuk semua negara anggota TPPA meneruskan perbincangan tanpa rasa bimbang terhadap percanggahan antara Jepun-Amerika Syarikat membabitkan isu berkaitan akses pasaran.

Pada mesyuarat dua hari Menteri-menteri TPPA yang berakhir di sini Jumaat, semua mata tertumpu kepada kedua-dua kuasa ekonomi itu, sama ada mereka boleh mencapai keputusan tanpa terlalu banyak menentang antara satu sama lain.

Lawatan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama ke Jepun bulan lepas juga membangkitkan momentum untuk rundingan kedua-dua negara disambung semula.

"Kami meneruskan rundingan dan kemajuan yang dicapai membolehkan kami merencanakan rundingan fasa baharu. Ia merupakan kejayaan besar. Ia membolehkan kami memasuki rundingan fasa baharu," kata Duta Besar Amerika Syarikat Michael Froman pada hari terakhir mesyuarat peringkat menteri TPPA di sini.

Sekumpulan perunding mengenai pertanian akan melawat Washington minggu depan untuk membincangkan butiran lanjut, katanya yang menunjukkan bahawa kedua-dua pihak akhirnya berhenti menentang satu sama lain.

Jepun dan Amerika Syarikat bertelagah dalam hal akses pasaran bagi produk automotif dan pertanian.

Sementara itu, Menteri Ekonomi Dasar Fiskal Jepun Akira Amari menyifatkan mesyuarat yang baru berakhir sebagai 'kabus semakin hilang berbanding masa lampau".

Amari berkata sensitiviti negara masing-masing mestilah minimum, namun pada masa yang sama, mereka perlu ada ruang untuk bertoleransi.

Difahamkan 10 negara lain bimbang berikutan kedua-dua kuasa ekonomi dunia itu menguasai 80 peratus daripada jumlah Keluaran Dalam Negeri Kasar dalam 12 negara dalam kumpulan TPPA.

Perbezaan mereka, boleh menjadi halangan terbesar dalam menyelesaikan Rundingan TPPA, terutama mengenai akses pasaran.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata berikutan Jepun dan Amerika Syarikat sudah memutuskan untuk meneruskan rundingan kali ini, kedudukan positif ini menyediakan pelbagai pengaruh kepada negara yang terlibat untuk menyambung semula perbincangan mereka.

Beliau mengakui terdapat pragmatisme dan fleksibiliti antara negara yang terlibat, terutama membabitkan beberapa isu yang mereka yakini merupakan budaya dan sejarah selain sensitiviti.

Ketika ditanya sama ada empat tahun rundingan seolah-olah seperti suatu perjalanan yang panjang bagi kalangan perunding, Mustapa berkata ia sememangnya satu perjalanan yang jauh, dengan rundingan TPPA ibarat Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO).

"Anda perlu ingat bahawa TPPA tidak berbeza daripada Pusingan Doha (WTO) memandangkan kami perlu mengkaji kerumitan dan komprehensifnya isu-isu yang terlibat," katanya menambah bahawa TPPA melibatkan isu-isu yang lebih luas dan lebih kompleks berbanding Pusingan Doha.

"(Dan) jika anda melihat peserta (TPPA), ia sebenarnya menyerupai anggota WTO. Ia membabitkan negara paling maju dan negara kurang maju," katanya menambah perjanjian perdagangan bebas antara Malaysia dan Turki yang mudah pun, mengambil masa empat tahun untuk dimuktamadkan.

"TPPA merangkumi isu-isu abad ke-21, satu perjanjian dengan matlamat besar. Kita bercakap mengenai peraturan perdagangan masa depan, dan oleh itu ia mengambil masa," kata Mustapa.

Di Tokyo semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Malaysia tidak sabar menunggu TPPA dimuktamadkan, kemungkinan menjelang akhir tahun apabila semua negara mempersetujui termanya.

Jika tarikh akhir tahun tidak dapat dipenuhi, Malaysia akan meneruskan rundingan memandangkan tarikh akhir itu tidak penting berbanding kandungan perjanjian TPPA.

Dalam berunding, Perdana Menteri berkata Malaysia akan berpegang kepada dua objektif utama - mengembangkan perdagangan dan akses pasaran dari segi ekonomi dan pertumbuhan pelaburan serta menegakkan kedaulatan negara berdasarkan prinsip semasa.

Najib juga mengarahkan perunding Malaysia merundingkan 'Perjanjian TPPA mengikut terma kita".

Dalam perkembangan lain, Mustapa berkata langkah seterusnya yang akan dilakukan ialah meneroka beberapa bidang termasuk perusahaan milik negara, perolehan kerajaan, buruh, hak harta intelek dan alam sekitar.

Beliau berkata kelonggaran juga perlu diberikan kepada permintaan negara perunding lain, namun pada masa yang sama menjaga kepentingan negara.

"Dalam tempoh beberapa minggu akan datang, kita akan meneroka beberapa pilihan untuk menimbang permintaan mereka dan sudah tentu, kita perlu melibatkan diri dengan pelbagai pihak berkepentingan di Malaysia," kata menteri perdagangan itu.

Ketua Perunding Kanada Kirsten Hillman berkata rundingan TPPA tidak harus bertumpu hanya kepada kedua-dua negara besar itu dan mengingatkan bahawa ia melibatkan 12 negara.

"Kita di sini untuk rundingan pelbagai hala dan oleh itu ia perlu melibatkan semua pihak yang perlu membuat keputusan yang berguna, membina, menggalakkan pertumbuhan pekerjaan dan kemakmuran ekonomi di negara kita sebagai kumpulan," katanya.

Akhirnya, negara terlibat perlu menyelesaikan isu-isu dan pada masa yang sama tidak berkompromi ke atas kedaulatan masing-masing serta melindungi kepentingan orang ramai.

Apa pun hasil rundingan TPPA ini, isu-isu ia mesti terus dibincangkan dan dikaji walaupun ia akan mengambil masa yang lebih lama supaya keputusan yang memihak kepada kepentingan semua dicapai.

Keputusan menteri-menteri perdagangan menubuhkan jawatankuasa untuk menyelaras jangkauan dan penglibatan dengan pihak berkepentingan pada mesyuarat ini, termasuk media dan awam, jelas sekali ia merupakan keputusan yang betul.

Jawatankuasa ini akan mengkaji amalan negara-negara dan membantu memutuskan masa untuk mengumumkan teks (perjanjian TPPA) untuk pemegang kepentingan negara perunding.

Pengumuman teks pada masa yang tepat dan cara yang betul, boleh mempengaruhi tahap penerimaan orang ramai dalam merangka masa depan kawasan perdagangan bebas.

Mesyuarat TPPA seterusnya antara ketua perunding dijangka berlangsung Julai ini.

Related

TPPA 3342934168721527163

Post a Comment

emo-but-icon

 
great success with umofx

Trending

Recent

Comment

.

Text Widget

Contact Us

Name

Email *

Message *

Connect Us

item