Usahawan PKS Patut Rebut Peluang Pasaran Di AS

https://brokersmalaysia.blogspot.com/2014/05/usahawan-pks-patut-rebut-peluang.html
WASHINGTON, 23 Mei - Usahawan kecil dan sederhana disaran supaya mengambil peluang keemasan untuk mengekspot produk makanan bermutu tinggi ke Amerika Syarikat yang mempunyai pasaran yang besar, kata Duta Besar Malaysia ke AS, Datuk Awang Adek Hussin.
"Yang penting ialah bekalan yang banyak, konsisten dan boleh diharap serta berkualiti tinggi, oleh sebab pasaran AS lebih besar," katanya kepada pemberita di sini pada Khamis.
"Saya yakin peniaga-peniaga PKS boleh berjaya mengambil kesempatan untuk mengekspot produk-produk ke AS dengan berusaha lebih gigih untuk menepati permintaan sekiranya perlu mereka boleh mendapatkan nasihat daripada agensi-agensi yang berkenaan," katanya.
Beliau bersetuju bahawa pengekspot Malaysia akan menghadapi persaingan sengit dengan pengekspot dari China and Thailand yang sudah jauh maju dan berjaya menguasai pasaran makanan di AS.
Di kedai-kedai runcit Thailand yang sering dijalankan oleh restoran di AS umpamanya, terdapat pelbagai bahan makanan tempatan seperti petai, jering, daun pandan dan durian yang dipek dalam bungkusan plastik dan dibekukan untuk jualan.
Bahan makanan seperti ini serta makanan yang ditin dan dibotolkan sangat popular dalam kalangan penduduk Asia-Amerika yang semakin berkembang di bandar-bandar metropolitan.
Awang Adek telah menyerahkan watikah pelantikannya kepada Presiden Barack Obama di White House, pada Rabu.
Menurut Awang Adek, dalam perjumpaan berkenaan, Presiden itu tidak henti-henti menyatakan gembiranya melawat Malaysia baru-baru ini serta kenangan manis dengan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah.
Beliau berkata Obama berharap sangat lawatannya dapat menghasilkan faedah yang ketara untuk rakyat.
Harapannya ialah AS tidak lagi perlu mengenakan visa ke atas rakyat Malaysia yang ingin melawat AS pada satu hari nanti, kata Awang Adek yang merupakan bekas Timbalan Menteri Kewangan.
Obama juga, menurut Awang Adek, mengalu-alukan peranan Malaysia sebagai Pengerusi Asean, dan bersedia melihat Malaysia sebagai anggota majlis keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, mewakili negara-negara Asia yang lain di tahap lebih tinggi.