Pendapatan Suku-1 Petron Malaysia Naik Kepada RM2.89 Bilion

https://brokersmalaysia.blogspot.com/2014/05/pendapatan-suku-1-petron-malaysia-naik.html
KUALA LUMPUR, 22 Mei - Pendapatan Petron Malaysia Refining and Marketing Bhd (PMRMB) bagi suku pertama yang berakhir pada 31 Mac, 2014, meningkat kepada RM2.94 bilion daripada RM2.89 bilion dalam suku yang sama tahun lepas.
Namun begitu, meskipun prestasi jualan dan operasi yang kukuh, syarikat itu mencatatkan kerugian RM7 juta bagi suku tersebut, berbanding keuntungan RM31 juta bagi tempoh yang sama tahun lepas.
Jualan tempatan meningkat sebanyak 12 peratus kepada 4.8 juta tong berbanding 4.3 juta tong pada 2013, dipacu terutamanya oleh pertumbuhan dalam sektor runcit dan peningkatan ketara dalam kuantiti komersil susulan peningkatan keyakinan pasaran terhadap Petron, kata syarikat itu dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
PMRMB berkata pengecilan perbezaan harga antara minyak mentah yang diproses di kilang penapisnya dan produk siap terus menjejaskan marginnya.
"Walaupun persekitaran luar yang tidak menentu memberi cabaran kepada kami, kami terus menumpukan kepada perkara-perkara yang berada dalam kawalan kami.
"Dari segi pengukuhan perniagaan, kami kini sedang dalam proses pengembangan dan melaksanakan program secara berterusan untuk meningkatkan bahagian pasaran dan seterusnya mengembangkan perniagaan kami," kata Pengerusi PMRMB, Ramon S. Ang.