Kazakhstan Harap Bangunkan Hubungan Lebih Bermakna Dengan Malaysia

https://brokersmalaysia.blogspot.com/2014/05/kazakhstan-harap-bangunkan-hubungan.html
ASTANA (Kazakhstan) 23 Mei - Kazakhstan berharap untuk membangunkan hubungan yang lebih bermakna dengan Malaysia dalam bidang ekonomi dan politik.
Menteri Luar Negeri Kazakhstan Erlan Idrissov berkata Kazakhstan mengenal pasti Malaysia sebagai negara model dalam pembangunan dan telah mewujudkan hubungan yang baik dan erat dengan Malaysia.
"Malaysia adalah rakan dagang penting Kazakhstan dan kami menganggap Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai pemimpin yang berwawasan," katanya pada taklimat bagi wartawan luar di pejabatnya.
Hubungan diplomatik antara kedua-dua negara telah terjalin sejak 1992 dengan lawatan rasmi Dr Mahathir ke Kazakhstan dan lawatan balas Presidennya Nursultan Nazarbayev ke Malaysia.
Lawatan kerja Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak selama tiga hari ke bandar Astana, Kazakhstan, bermula Jumaat untuk mengukuhkan hubungan dua hala dalam pelbagai bidang.
Beliau telah diberi penghormatan untuk menyampaikan ucaptama pada pagi ini di Forum Ekonomi Astana sebagai tetamu istimewa Presiden Nazarbayev.
Idrissov berkata pelabur-pelabur Malaysia seperti Petronas telah bertapak kukuh di Kazakhstan.
Beliau juga berkata pelabur asing seperti Malaysia boleh memanfaatkan kedudukan Kazakhstan dalam blok ekonomi yang tidak lama lagi akan ditubuhkan dalam Integrasi Ekonomi Eurasia antara Rusia, Belarus dan Kazakhstan.
Kesatuan Ekonomi Eurasia antara Rusia, Belarus dan Kazakhstan dijangka dibentuk pada 2015 melalui pemansuhan halangan kastam.
Ia bagi mewujudkan satu lagi kuasa ekonomi supaya sama rata dalam kekuatan dan daya saing ekonomi seperti Kesatuan Eropah.