Kunjungan Obama Perkukuhkan Lagi Malaysia Sebagai Peserta Utama Ekonomi Global


KUALA LUMPUR, 3 Mei - Lawatan bersejarah Presiden Amerika Syarikat Barack Obama ke Kuala Lumpur bukan sahaja memberikan rangsangan kepada hubungan dua hala tetapi mengukuhkan lagi Malaysia sebagai peserta utama dalam ekonomi global.

Jelas di samping mahu mengeratkan lagi hubungan keselamatan dan diplomatik, Washington juga berhasrat untuk meningkatkan hubungan ekonomi ke tahap yang lebih tinggi kerana aktiviti bersama akan menjana lebih banyak sokongan pekerjaan yang diperlukan di AS dan juga di sini.

Ini dibuktikan dengan KL dan Washington memeterai beberapa janji niaga utama dalam sektor penerbangan, bioteknologi dan insurans serta mengulangi hasrat mereka untuk merancakkan lagi aktiviti keusahawanan dalam kalangan golongan belia mereka.

Perkara penting dalam hubungan ekonomi ialah lawatan Obama juga membuka laluan bagi penginsurans Amerika untuk membeli ekuiti buat pertama kalinya dalam syarikat takaful di Malaysia.

Lawatan Obama -- yang pertama oleh Presiden Amerika sejak Lyndon B. Johnson pada 1966, penting kerana ia akan menyokong perdagangan dan pelaburan Malaysia dan AS, yang sentiasa menjadi tonggak dalam hubungan yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara.

Antara tahun 2003 hingga 2013, pelabur Amerika telah melabur lebih US$13 bilion di Malaysia.

Sejak dekad lepas juga, eksport ke AS berjumlah US$247.5 bilion manakala import sebanyak US$173.3 bilion.

Malaysia, singgahan ketiga dalam rangka lawatan Obama ke empat negara Asia, jauh berbeza daripada 48 tahun lalu semasa Johnson datang ke negara ini.

Sejak itu, Malaysia telah mengalami transformasi ekonomi yang besar.

Hari ini, AS merupakan pelabur langsung asing terbesar di Malaysia manakala Malaysia pula sekarang merupakan pelabur paling pantas berkembang di Amerika.

Ini diperkukuhkan lagi dengan pembelian enjin GE bernilai US$1.5 bilion oleh AirAsia X baru-baru ini, yang menurut kata Obama sendiri akan menyokong 3,695 pekerjaan di AS.

Janji niaga itu akan menyokong 25,000 pekerjaan enjin GE di Cincinnati, Ohio, Durham, North Carolina dan Rutland serta pekerjaan 150 pembekal GE.

Pelaburan Sime Darby dalam syarikat bioteknologi AS, Verdezyne dari San Diego akan membiayai penyelidikan dan pembangunan di AS yang seterusnya mewujudkan 300 peluang pekerjaan.

Obama, dalam ucapannya sebelum menyaksikan majlis permeterian kedua-dua perjanjian itu menegaskan bahawa hubungan erat perdagangan dan pelaburan antara Malaysia dan AS mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan ekonomi bagi kedua-dua negara.

Hubungan seumpama itu penting dalam menghadapi suasana kelemahan ekonomi global.

Obama juga menyaksikan permeterian perjanjian antara Ambank dan penginsurans Amerika, Metlife.

Metlife melabur hampir US$250 juta untuk membeli saham dalam AmLife dan AmTakaful, yang mana merupakan pelaburan AS pertama dalam pasaran takaful Malaysia.

Selain itu, pelaburan Genting Group sebanyak US$3 bilion dalam sektor hotel dan pelancongan di AS, Malaysia Life Science Capital Fund yang memasukkan beberapa syarikat bioteknologi AS dalam portfolionya serta Khazanah, yang baru-baru ini membuka pejabat di San Francisco menyasar pelaburan berteknologi tinggi, jelas menyediakan platform bagi hubungan komersil yang lebih kukuh.

Semasa lawatan Obama, kerajaan juga bersetuju membentuk perkongsian komprehensif baharu yang akan mengembangkan hubungan ekonomi ke tahap lebih menyeluruh.

Tidak dapat dinafikan peningkatan hubungan dua hala hasil daripada lawatan sulung Obama itu akan meningkatkan aliran masuk pelaburan asing ke Malaysia.

Di masa depan, Malaysia dan AS boleh mengharapkan lebih banyak pertumbuhan dan perkongsian kemakmuran.

Obama juga berkata walaupun keseluruhan perdagangan dua hala kekal stabil, AS mahu meningkatkan perdagangan barangan mengatasi nilai US$40 bilion pada tahun lepas.

Kebimbangan awal berkaitan perbincangan mengenai Perjanjian Perkongsian Asia Pasifik (TPPA) sebelum lawatan Obama juga mereda dengan kedua-dua pihak menekankan bahawa Malaysia tidak diberi tekanan untuk memeterai perjanjian itu.

Obama menyangkal bahawa Washington membuli Malaysia dalam perjanjian itu, dengan menyatakan sememangnya telah difahami akan ada bantahan, bukan hanya bagi AS dan Malaysia, tetapi bagi semua negara-negara yang berunding.

Malaysia mengekalkan pendiriannya bahawa fleksibiliti diperlukan dalam bahagian sensitif seperti pemerolehan kerajaan, perusahaan milik negara, penyelesaian pertikaian pelabur-negara dan hak harta intelektual untuk negara menyertai TPPA.

Lawatan Obama itu juga mengukuhkan komitmen beliau dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menyokong kemahiran keusahawanan golongan muda, sau ciri penting kepada mana-mana ekonomi yang sedang berkembang.

Tiba bersama kenderaan khas milik Presiden AS "The Beast", dari Sri Perdana untuk merasmikan Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MAGIC) di Cyberjaya, Obama dan Najib mengukuhkan keyakinan dan harapan mereka terhadap usahawan muda.

Oleh kerana lawatan Obama merupakan susulan kepada Sidang Kemuncak Keusahawanan Global Ke-4 yang dianjurkan Malaysia tahun lepas, kehadiran kedua-dua pemimpin itu di pelancaran tersebut menyokong lagi matlamat bersama Malaysia dan AS untuk menggalakkan peluang dan pertumbuhan keusahawanan.

Selepas meluangkan masa hampir tiga hari di Malaysia, lawatan Obama bukan sahaja menyediakan wadah bagi menambah baik hubungan diplomatik dan keselamatan, ia juga memberi isyarat bahawa Malaysia kini menjadi sebahagian daripada peserta utama ekonomi global.

Related

Malaysian News 760445831771769943

Post a Comment

emo-but-icon

 
great success with umofx

Trending

Recent

Comment

.

Text Widget

Contact Us

Name

Email *

Message *

Connect Us

item