Laba Pracukai Suku Pertama Petronas Susut Kepada RM27.2 Bilion

https://brokersmalaysia.blogspot.com/2014/05/laba-pracukai-suku-pertama-petronas.html
KUALA LUMPUR, 14 Mei - Keuntungan sebelum cukai Petronas bagi suku pertama berakhir 31 Mac, 2014 turun sedikit kepada RM27.2 bilion daripada RM28.8 bilion dalam suku yang sama tahun lepas.
Bagaimanapun, pendapatannya bertambah kepada RM84 bilion daripada RM76.7 bilion bagi suku pertama tahun lepas.
Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Shamsul Azhar Abbas, berkata pendapatan yang lebih baik ini adalah kerana jumlah dagangan produk petroleum yang lebih besar ekoran permintaan yang lebih teguh dan pengeluaran yang lebih tinggi berikutan penyambungan semula pengeluaran di Sudan Selatan.
Beliau berkata pengeluaran bagi suku dalam kajian meningkat kepada 2.262 juta tong bersamaan minyak (BOE) sehari daripada 2.156 juta BOE sehari dalam tempoh yang sama tahun lepas.
"Keuntungan sebelum cukai yang lebih rendah ini adalah disebabkan oleh kejatuhan harga minyak, pergerakan dolar AS yang memberangsangkan, perbelanjaan susut nilai dalam operasinya di Mesir dan kos kendalian yang lebih tinggi ekoran peningkatan kegiatan cari gali," katanya dalam satu taklimat media mengenai keputusan kewangan suku pertama syarikat minyak nasional itu Rabu.