Mexico Mahu Dapatkan Kepakaran Malaysia Bangunkan Industri Halal

https://brokersmalaysia.blogspot.com/2014/05/mexico-mahu-dapatkan-kepakaran-malaysia.html
KUALA LUMPUR, 16 Mei - Mexico mahu mendapatkan kepakaran Malaysia untuk membangunkan industri halalnya menjadi hab halal serantau berikutan potensi yang besar dalam industri halal global, kata Duta Mexico ke Malaysia Carlos Felix Corona.
Beliau berkata Malaysia mempunyai peranan kepimpinan sebagai pembina kepakaran pasaran halal dalam perkara seperti piawaian industri dan pensijilan.
"Kami mahu membangunkan makanan halal dan industri halal di Mexico. Jika kami mempunyai pensijilan dari Malaysia, kami boleh mengembangkan operasi ke seluruh dunia dan syarikat Mexico boleh mengeksport produk halal ke Amerika Syarikat berikutan terdapat populasi umat Islam yang besar di negara berkenaan.
"Memandangkan Malaysia mempunyai pengalaman dalam mewujudkan dan membangunkan hab halal di sini, kami mahu menggunakan kepakaran mereka untuk bekerjasama dengan kami mewujudkan hab halal di negara kami," katanya kepada Bernama ketika melakukan lawatan ke ibu pejabatnya di sini.
Turut hadir Ketua Pengarang Bernama Datuk Zulkefli Salleh dan Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Antarabangsa Ahmad Zukiman Zain.
Terdahulu, Corona mengadakan pertemuan dengan Pengurus Besar Bernama Datuk Yong Soo Heong.
Mexico juga melihat untuk mengukuhkan hubungan dengan Malaysia dan merancang untuk mengembangkan perdagangan dua hala, kata Corona.
Beliau berkata prospek perniagaan adalah positif berikutan pemulihan ekonomi di rantau Amerika Utara, yang menawarkan peluang bagi membangunkan semua sektor ekonomi Mexico untuk menjalin hubungan dengan syarikat Malaysia.
Mexico, merupakan negara kelima terbesar di Amerika dengan populasi lebih 150 juta orang, menawarkan pelbagai peluang bagi syarikat Malaysia.
"Terdapat sektor tertentu yang boleh kita padankan dengan lebih baik, misalnya, tenaga merupakan elemen sangat penting berikutan Mexico adalah satu daripada pengeluar minyak terpenting di dunia dengan 3.7 juta tong sehari.
"Kami mempunyai pembaharuan tenaga yang kukuh di Mexico dan pada masa ini, terdapat banyak syarikat asing yang mahu melabur di negara kami untuk meneroka sektor tenaga," katanya.
Corona berkata syarikat Mexico harus datang ke Malaysia dan menemui banyak peluang yang terdapat di sini dan di Asia Tenggara.
"Malaysia sangat kukuh dalam industri automobil dan prasarana, dan ini adalah bidang potensi lain yang boleh kita kembangkan operasinya," katanya.
Corona menegaskan kepentingan perdagangan dua hala antara Mexico dan Malaysia, rakan dagangan utamanya di Asia Tenggara -- perdagangan berjumlah US$5.234 bilion pada 2013.