Muhyiddin Yakin Pencapaian GTP, ETP Lebih Tinggi Pada Masa Hadapan

https://brokersmalaysia.blogspot.com/2014/05/muhyiddin-yakin-pencapaian-gtp-etp.html
KUALA LUMPUR, 12 Mei - Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin pencapaian Program Transformasi Negara(GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) mampu dicapai lebih tinggi pada masa hadapan, dengan adanya sistem penyampaian kerajaan yang lebih berkesan.
Beliau menarik perhatian bahawa jika tahun lepas, ketujuh-tujuh Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) melaporkan kadar pencapaian purata 104 peratus, adalah tidak mustahil pencapaian lebih tinggi boleh disasarkan tahun hadapan.
"Ini satu kejayaan yang membanggakan... kita berada di landasan yang betul. Ada juga pakar ekonomi yang meramalkan kita boleh capai taraf negara maju 2020 lebih cepat daripada yang disasarkan.
"...kita mahu tentukan supaya tahun-tahun berikutnya pencapaian akan lebih meningkat daripada yang dicapai sekarang. Kerajaan sudah menyediakan sumber yang sepatutnya, apa yang penting adalah sistem penyampaian yang berkesan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pembentangan Laporan Tahunan GTP 2013 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Wisma Angkasapuri di Kuala Lumpur, Isnin malam.
Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata dalam hal ini, sebahagian besar penjawat awam perlu menggalas tanggungjawab dan harus komited dalam melaksanakan apa yang telah digariskan dalam GTP dan ETP.
"Ini juga melibatkan penerimaan masyarakat (secara positif terhadap program-program itu). Kalau kerajaan usahakan, pegawai kerajaan laksanakan, tetapi penerimaan tidak ada, maka sasaran juga tidak akan tercapai," kata beliau.
Muhyiddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Petugas Khas bagi memantau GTP berkata secara keseluruhan beliau cukup berpuas hati dengan pencapaian GTP dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) 2013, namun beberapa perkara termasuk perkhidmatan pengangkutan dan keselamatan perlu diberi perhatian berterusan.
Menurutnya, kerajaan sedar isu keselamatan menjadi perhatian utama rakyat Malaysia.
Justeru itu, katanya, kerajaan mahu melihat kadar jenayah, yang dilaporkan mencatat penurunan, akan terus berkurangan daripada sasaran.
"Contohnya Ops Cantas yang telah berhasil menurunkan kadar jenayah kepada lebih 30 peratus tetapi masih ada tanggapan daripada rakyat kita yang merasakan ia belum cukup", katanya.
Muhyiddin menekankan bahawa kualiti pendidikan di semua peringkat daripada prasekolah sehinggi pendidikan tinggi akan terus ditingkatkan bagi memenuhi matlamat negara menjadi hab pendidikan dunia.
"Kita mahu tingkatkan prestasi di institusi pendidikan sama ada awam mahupun swasta. Kita akan tentukan kurikulum di universiti dan kolej termasuk sekolah adalah setanding antarabangsa," katanya.
Selain itu, Timbalan Perdana Menteri menarik perhatian bahawa bidang-bidang lain seperti infrastruktur luar bandar seperti pembinaan jalan terutamanya di Sabah dan Sarawak serta pengurangan kos sara hidup dengan pelaksanaan bantuan dan program sedia ada seperti Kedai Rakyat 1Malaysia dan Bantuan Rakyat 1Malaysia akan diteruskan serta diperluaskan.
"Kita nak tentukan supaya tiada ketirisan dari segi bentuk bantuan yang disampaikan atau kerugian mesti kita kurangkan sebagaimana yang dilaporkan dalam laporan Ketua Audit Negara", katanya.