Najib - Hubungan Akrab Malaysia-UAE Diteruskan

https://brokersmalaysia.blogspot.com/2014/05/najib-hubungan-akrab-malaysia-uae.html
KUALA LUMPUR, 19 Mei - Hubungan akrab antara Malaysia dengan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dalam pelbagai bidang akan diteruskan selain dipupuk dengan lebih erat lagi, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Menerusi catatan terbaharu beliau di Facebook, perdana menteri turut menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan UAE kerana menghadiahkan sebuah kompleks masjid untuk dibina di sini.
Pembinaan masjid itu direalisasikan menerusi perjanjian kerjasama yang ditandatangani oleh Malaysia melalui 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan Pihak Berkuasa Am Hal Ehwal Islam dan Waqaf (AWQAF) UAE.
Masjid yang bakal dibina hasil ilham Masjid Agung Sheikh Zayed di Abu Dhabi itu dijangka mampu menampung kira-kira 30,000 jemaah pada satu-satu masa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama Putera Mahkota Abu Dhabi, Sheikh Mohammed Zayed Al Nahyan mendengar penerangan daripada Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Mohd Hazem Abd Rahman ketika melihat replika kompleks masjid yang akan dibina di Malaysia
Selain itu, Najib turut melahirkan penghargaan atas pengurniaan darjah kebesaran Etihad Award (Pingat Union) kepadanya oleh UAE, semalam.
"Saya amat berbesar hati untuk menerima anugerah Pingat Union oleh kerajaan Emiriyah Arab Bersatu yang disampaikan oleh Putera Mahkota Abu Dhabi, Syeikh Mohammed Zayed Al Nahyan semalam," katanya.
Anugerah tertinggi untuk Ketua Negara itu diberikan kepada Najib sebagai menghargai sumbangan beliau ke arah mempertingkatkan hubungan dua hala antara Kuala Lumpur dan Abu Dhabi.