Kerajaan Optimistik Pertumbuhan KDNK 4.5-5.5 Peratus Tahun Ini

https://brokersmalaysia.blogspot.com/2014/05/kerajaan-optimistik-pertumbuhan-kdnk-45.html
KUALA LUMPUR, 19 Mei - Kerajaan optimistik mencatat pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) seperti diunjurkan tahun ini antara 4.5 dan 5.5 peratus, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar.
Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, Jumaat lepas mengumumkan KDNK Malaysia berkembang 6.2 peratus pada suku pertama 2014 berbanding pertumbuhan 4.2 peratus dalam tempoh yang sama tahun lalu, bersandarkan permintaan domestik dan pemulihan dalam eksport bersih.
Abdul Wahid berkata Malaysia perlu meneruskan momentum untuk bergerak ke depan dan berhati-hati terhadap ketidaktentuan luaran.
"Kita juga sedang membangunkan Rancangan Malaysia ke-11, untuk jangka masa dari 2016 hingga 2020, dengan harapan ia akan membantu merangsang landskap ekonomi dan melengkapkan pertumbuhan KDNK, dan kita memandang ke hadapan menjangkaui 2020," katanya kepada pemberita pada forum "Melepasi KDNK: Peralihan kepada Kelestarian" di sini hari ini.
Beliau berkata Malaysia akan terus mengenal pasti program ekonomi dan pertumbuhan lain melampaui KDNK, sebagai sambutan kepada peluang dan cabaran tidak terduga dihadapi negara pada alaf ke-21.
"Kami sedar bahawa apabila bercakap mengenai kemakmuran sesebuah negara, tumpuan sentiasa diberikan kepada pertumbuhan ekonomi dan kurang kepada kesejahteraan rakyat," kata Abdul Wahid.
Dalam usaha mengukur penambahbaikan dalam taraf hidup, Indeks Kualiti Hidup dan Indeks Kesejahteraan Malaysia yang baharu diperkenalkan sebagai petunjuk melepasi pendapatan nasional, katanya.
"Lama kelamaan, dengan sokongan daripada pertubuhan antarabangsa, kita berharap mendapat penanda aras antarabangsa," katanya.