Pelaburan di UK sumbang 9.5 peratus perolehan TH

https://brokersmalaysia.blogspot.com/2014/05/pelaburan-di-uk-sumbang-95-peratus.html
KUALA LUMPUR 9 Mei - Pelaburan hartanah Lembaga Tabung Haji (TH) di United Kingdom (UK) bernilai £75.8 juta (RM406.36 juta) yang dimuktamadkan baru-baru ini dijangka menyumbang 9.5 peratus kepada perolehan syarikat pada tahun ini.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TH, Datuk Ismee Ismail berkata, perolehan itu akan dijana dalam bentuk sewaan bangunan.
"Setakat ini, hasil pemantauan kita mendapati pelaburan itu memberi pulangan dalam bentuk sewaan sebanyak 9.5 peratus kepada perolehan syarikat," katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pengiktirafan Malaysia Book of Records kepada Kelab TaHa yang mencatat keanggotaan pelajar sekolah paling ramai di Malaysia iaitu 1.15 juta orang sehingga 30 April lalu.
Yang turut hadir, Pengasas dan Pengarah Urusan The Malaysia Book of Records, Datuk Danny Ooi dan Ketua Pegawai Operasi TH, Datuk Seri Kamaruddin Mat Ali.
TH sebelum ini membeli bangunan pejabat Unilever House yang terletak di Central London dan proses jual beli tersebut selesai sekitar Februari lalu.
Menurut Ismee, TH akan terus meninjau peluang-peluang pelaburan hartanah di luar negara terutama di lokasi yang telah dikenal pasti iaitu di Arab Saudi (termasuk Mekah, Madinah dan Jeddah), UK dan Australia.
TH sebelum ini menyatakan akan menjadikan 20 peratus daripada dana aset pelaburannya untuk dilaburkan di dalam sektor hartanah sebagai keutamaan untuk menjana pendapatan, menampung perbelanjaan dan pemberian bonus.