Pelantikan Tun M Sebagai Pengerusi Proton Beri Kekuatan Baru

https://brokersmalaysia.blogspot.com/2014/05/pelantikan-tun-m-sebagai-pengerusi.html
TOKYO, 22 Mei - Pelantikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi Proton Holdings Bhd akan memberi kekuatan baharu kepada syarikat kereta nasional itu, kata Datuk Seri Najib Razak.
Perdana Menteri berkata demikian kepada wartawan Malaysia selepas menyampaikan ucaptama pada Persidangan Antarabangsa Nikkei Ke-20 Mengenai Masa Depan Asia, di sini.
"Saya percaya pelantikan Tun akan memberi kekuatan baharu kepada Proton berdasarkan komitmen tinggi beliau untuk kereta nasional kita," kata Najib ketika diminta mengulas mengenai pelantikan bekas Perdana Menteri itu sebagai pengerusi Proton berkuat kuasa 16 Mei lalu.
"Walaupun ada banyak cabaran, namun dalam usaha meningkatkan daya saing Proton, saya percaya syarikat itu akan mendapat banyak manfaat daripada komitmen dan pengalaman beliau," kata Najib.
Ditanya mengenai pelantikan ini akan bermakna Mahathir mempunyai kuasa yang lebih luas dalam menentukan hala tuju Proton, beliau menjawab, "itu terpulang kepada Proton kerana Proton ialah syarikat senaraian awam".
Selain sebagai pengerusi Proton, Mahathir turut dilantik sebagai Pengerusi Group Lotus plc (Lotus), iaitu anak syarikat Proton.
Dr Mahathir mengambil alih jawatan itu daripada Tan Sri Mohd Khamil Jamil yang akan meletakkan jawatan sebagai pengerusi eksekutif, namun kekal sebagai anggota lembaga pengarah syarikat.
Sebelum pelantikannya sebagai pengerusi, Dr Mahathir ialah penasihat Proton sejak 2003, selepas meletak jawatan sebagai perdana menteri.