Usahawan wanita disaran daftar perniagaan

https://brokersmalaysia.blogspot.com/2014/05/usahawan-wanita-disaran-daftar.html
Penasihat Pembangunan Keusahawanan dan Ikhtisas Wanita di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, pemerhatian pihaknya mendapati masih ramai di antara golongan berkenaan yang enggan berbuat demikian menyebabkan mereka berdepan pelbagai masalah.
"Ada yang saya lihat produk itu berkualiti dan pembungkusannya juga menarik. Namun disebabkan perniagaan tersebut tidak didaftar, maka produk itu tidak dapat memohon status halal untuk dikembangkan sayap perniagaannya.
"Itu tidak sepatutnya terjadi kerana usahawan wanita perlu turut serta berusaha mengembangkan perniagaan masing-masing bagi membantu mencapai wawasan menjadi negara berpendapatan tinggi," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan program Jom Niaga zon utara di Pusat Konvensyen TH di sini hari ini.
Yang turut hadir Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah dan Yang Dipertua Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita (NCWO), Tan Sri Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin.
Mengulas mengenai program tersebut, Shahrizat berkata, tumpuan utamanya adalah untuk menarik seberapa ramai usahawan wanita supaya mendaftarkan perniagaan masing-masing dengan cara membawa agensi berkaitan turun padang mendekati mereka.
"Di sini kita terangkan apa perlunya mereka berbuat demikian. Ada dalam kalangan mereka yang tidak tahu pun mengenai keistimewaan diberi kerajaan termasuk kursus ditawarkan bagi memperelokkan perniagaan masing-masing.
"Disebabkan itu, kami akan turun ke enam zon iaitu utara, selatan, timur, barat serta di Sabah dan Sarawak bagi mendekati golongan ini agar ekonomi wanita dapat diperkasakan menerusi perniagaan," katanya.