Zeti Akhtar Aziz : BNM Akan Pastikan Pasaran Ringgit Teratur Dalam Situasi Tidak Menentu Global

https://brokersmalaysia.blogspot.com/2014/05/zeti-akhtar-aziz-bnm-akan-pastikan.html
KUALA LUMPUR, 16 Mei - Bank Negara Malaysia (BNM) akan terus memastikan keadaan pasaran ringgit kekal teratur di tengah-tengah keadaan perkembangan ekonomi global yang tidak menentu, kata Gabenornya Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, Jumaat.
Beliau berkata bank pusat memantau peralihan dalam kecairan global dan ia merupakan pengaruh utama bagi mata wang tempatan.
"Ini bukan sahaja unik bagi Malaysia tetapi juga kepada ekonomi sedang pesat membangun lain. Kami melihat kemungkinan turun naik yang lebih besar dan ia akan terus berada dalam aliran itu," katanya kepada pemberita selepas mengumumkan perkembangan ekonomi dan kewangan Malaysia bagi suku pertama 2014, Jumaat.
Zeti berkata perniagaan Malaysia telah semakin bijak dalam menguruskan pendedahan pertukaran asing dan bank pusat telah meliberalisasikannya dengan lebih ketara lagi bagi membolehkan perniagaan menangani pendedahan untuk bersiap sedia menghadapi kemudahruapan ini.
Bagi suku pertama, ringgit dan kebanyakan mata wang serantau lain terus menerima kesan daripada perkembangan global berikutan bermulanya pengurangan program pembelian aset Rizab Persekutuan AS, kebimbangan akan prospek pertumbuhan beberapa ekonomi pasaran sedang pesat membangun dan perkembangan geopolitik di Eropah Timur yang telah membawa kepada pengelakan risiko lebih tinggi serta aliran keluar dana dari pasaran kewangan serantau.
Bagaimanapun, katanya, jangkaan langkah-langkah rangsangan di China dan dasar kewangan akomodatif yang berterusan di AS menyediakan sokongan kepada ringgit semasa suku tersebut.
Mengenai kestabilan kewangan, Zeti berkata Malaysia terus mempamerkan daya tahannya semasa suku pertama meskipun kemudahruapan dalam pasaran kewangan global dan domestik.
"Pengantaraan kewangan terus disokong oleh institusi kewangan kukuh, keadaan pasaran kewangan teratur dan keyakinan berterusan terhadap sistem kewangan," katanya.
Secara keseluruhannya, ringgit meningkat 0.4 peratus berbanding dolar AS, naik berbanding euro (0.7 peratus), tetapi susut berbanding pound British (-0.5 peratus) dan yen Jepun (-1.5 peratus).