Industri minyak,gas dan tenaga diberi tumpuan

https://brokersmalaysia.blogspot.com/2014/05/industri-minyakgas-dan-tenaga-diberi.html
KUALA LUMPUR 13 Mei - Kerajaan memberi tumpuan untuk mengembangkan sektor hiliran, meningkatkan pengeluaran domestik dan bergerak ke arah tenaga boleh baharu dalam usaha untuk menambah nilai kepada industri minyak, gas dan tenaga.
Petronas akan menerajui usaha ini, disokong oleh penggiat industri utama seperti Shell, ExxonMobil dan Royal Vopak, yang telah membuat pelaburan besar dalam industri ini.
Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (Pemandu) dalam Laporan Tahunan Program Transformasi Ekonomi 2013 berkata, Petronas akan terus meneroka peluang pemerolehan minyak tertingkat (EOR) dan melaksanakan teknik EOR di kawasan-kawasan yang sesuai di luar pantai Malaysia.
Dengan projek lapangan Tapis sudah di peringkat yang lebih tinggi, projek-projek lain pula akan dilaksanakan secara berperingkat apabila tiba masanya," katanya.
Syarikat minyak nasional negara telah mengenal pasti 14 medan minyak yang berpotensi, termasuk Tapis, Baram Delta dan Utara Sabah, dengan lima di Sarawak, empat di Sabah manakala selebihnya di Semenanjung Malaysia.
Sebuah subsidiari khusus ditubuhkan iaitu Vestigo Petroleum Sdn Bhd untuk membangunkan medan minyak marginal dan matang serta mengusahakan pertumbuhan tambahan dalam bidang ini.
Petronas akan terus mengusahakan pertumbuhan sumber dan penambahan nilai melalui cara inovatif untuk meluaskan potensi sumber hidrokarbon di kawasan penerokaan matang Malaysia.
Terdapat juga tanda-tanda bahagian dalam pesisir Sarawak yang berpotensi tinggi dalam kandungan hidrokarbon," kata Pemandu.
Sementara itu, Petronas dan Petronas Gas Bhd. akan terus menyokong Suruhanjaya Tenaga dalam membangunkan rangka kerja pengawalseliaan bagi memudahcarakan Akses Pihak Ketiga (TPA).
Bersama-sama dengan penyimpanan terminal penggasan semula (RGT), TPA akan membuka jalan bagi liberalisasi pasaran gas di Semenanjung Malaysia.
Dalam perkembangan lain, Malaysia Petroleum Resources Corporation (MPRC) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri akan menarik syarikat-syarikat teknologi khusus dan mewujudkan perkongsian mereka dengan entiti tempatan.
Pemandu berkata. MPRC akan terus melibatkan diri dengan industri perkhidmatan minyak dan gas di Malaysia untuk mengenal pasti pasaran baharu yang menarik seperti Myanmar.
Usaha juga akan diambil untuk mengenal pasti sumber tenaga alternatif untuk mempelbagaikan portfolio tenaga boleh baharu.
Dengan mengambil kira potensi teknikal dan ekonomi, pemetaan tenaga angin akan disiapkan tahun ini, sementara kajian potensi tenaga geoterma di Ulu Slim, Perak, akan disiapkan tahun depan, kata Pemandu.
Untuk memastikan Malaysia mempunyai tenaga yang mencukupi untuk jangka panjang, tenaga nuklear penting untuk menyokong pertumbuhan negara.
Pemandu berkata kerajaan sedang menetapkan rangka kerja untuk memastikan ia dibuat dengan selamat dan cekap.
Malaysia sedang mengikuti pelan tindakan itu seperti yang diwujudkan oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa untuk memastikan asas pengawalseliaan, teknikal, keselamatan dan alam sekitar disediakan sekiranya mana-mana keputusan masa depan mengenai tenaga nuklear dibuat," kata Pemandu.