Singapura Tetap Rakan Dagang Besar, Sumber Pelaburan Penting Bagi Malaysia

https://brokersmalaysia.blogspot.com/2014/05/singapura-tetap-rakan-dagang-besar.html
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata Singapura terus menjadi rakan dagang yang besar dan sumber pelaburan yang penting bagi Malaysia.
Beliau menegaskan meskipun China adalah rakan dagang nombor satu Malaysia dengan keseluruhan perdagangan berjumlah US$65 bilion, namun dari segi eksport, Singapura adalah nombor satu.
"Kepada China kita adalah rakan dagang nombor satu dan rakan dagang terbesar dalam Asean. China bersaiz besar, tetapi Singapura amat penting," katanya dalam ucapannya dalam sesi perangkaian dan dialog dengan golongan profesional Malaysia di Singapura malam tadi.
Turut hadir ialah Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Kamsiah Kamaruddin; Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Datuk Azman Mahmud; dan Anggota Parlimen Pasir Gudang Normala Abd Samad.
Mustapa yang sedang dalam lawatan keduanya ke Singapura tahun ini menyifatkan hubungan dua hala antara Malaysia dan republik ini kini memasuki fasa baharu.
"Kita berada dalam tempoh ini beberapa tahun lalu, yang menyaksikan hubungan kita begitu baik, tetapi 2010 merupakan titik perubahan apabila kedua-dua negara mencapai persetujuan tentang Perkara Perjanjian (PoA)," katanya.
Menyentuh tentang pelaburan, Mustapa berkata: "Bagi kita, kita mencari pelaburan berkualiti dari segi pengetahuan, teknologi maklumat, perkhidmatan pada umumnya dan pelancongan.
"Kita berharap dapat bukan sahaja menarik pelaburan ke Iskandar Malaysia malah juga ke kawasan-kawasan lain di Malaysia, termasuk Sabah dan Sarawak dan seterusnya (dari Singapura)," katanya, sambil menambah bahawa kedua-dua negara telah menyaksikan banyak kerjasama sektor swasta terjalin, termasuk Khazanah Nasional Bhd dan Temasek.
Pada acara perangkaian dan dialog itu Mustapa menyampaikan maklumat terkini kepada golongan profesional Malaysia tentang pelbagai isu ekonomi dan perkembangan terbaharu berkaitan Malaysia, termasuk Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik, MH370 dan lawatan Presiden AS, Barack Obama, ke Malaysia.
Memandangkan Malaysia akan mengambil alih teraju pengerusi Asean tahun depan, kata Mustapa ia bakal menjadi tahun yang penting bagi negara itu.
Beliau berkata inilah tahunnya Komuniti Ekonomi Asean (AEC) akan ditubuhkan dan Malaysia berusaha keras untuk memastikan AEC menjadi kenyataan.